Sabtu, Julai 05, 2008

Ke Kuala Gandah Akhirnya





Akhirnya aku tiba juga ke Kuala Gandah, pusat konservasi gajah yang dikendalikan PERHILITAN. Aku terus berjumpa dengan ketua pusat itu dan menjelaskan tujuan aku ke situ.

Tanpa banyak bicara beliau memberi persetujuan awal sebelum dimaklumkan ke ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk aku mencari pengalaman sebagai petugas sukarelawan di pusat itu selama seminggu. Aku ditempatkan di kuaters kakitangan PERHILITAN di pusat itu selama seminggu aku berada di situ.

Sebelum tiba di situ, perjalanan aku dari Janda Baik agak lembab kerana hujan sepanjang hari. Aku terpaksa berehat di Kolam Air Panas Bentong, buat beberapa ketika. Mulanya aku bercadang untuk bermalam di situ dengan berkhemah sahaja, tetapi tempat itu sunyi tanpa manusia turut merisaukan aku.

Sebelum melangkah untuk pergi aku sempat bersembang dengan seorang kontraktor yang datang mandi di kolam air panas itu. Beliau berminat dengan ekspedisi ini dan tidak lepaskan peluang bergambar kenang-kenangan dengan motosikal yang sarat dengan muatan.

Beliau seorang jurutera dan dari kad nama yang diberi pada aku, tertera nama Ir. Shaari Abdullah. Terima kasih kerana beri sedikit duit minyak untuk aku.

Keletihan membuatkan aku terpaksa berlabuh di Raub, untuk bermalam sementara menunggu hari siang. Aku berehat di sebuah rumah tumpangan dengan membiarkan sahaja semua barangan aku dan beg-beg di motosikal.

Menariknya semua barangan yang aku tinggalkan tidak terusik dan dalam keadaan baik. Terima kasih warga Raub yang begitu berdisplin dan juga polis di situ yang sering memantau bandar itu sehingga aman seperti yang aku alami.

Aku ke Kuala Gandah dari Raub melalui Lembah Klau, Mempaga dan Lancang. Perjalanan begitu memukau panorama dan menarik sekali.

0 ulasan: