Isnin, Februari 22, 2010

JAMAL ABDILLAH DI PERMATANG BONGLAI


BARU ini aku bersama Jamal Abdillah dan krew Pengasih berkesempatan ke Permatang Bonglai, Jitra untuk program "Kenali Anak Kita" di Kedah. Rakan aku Nazaruddin dari Utusan Malaysia sempat melaporkan aktiviti kami di sana dan di sini aku selitkan kembali laporan yang tersiar dalam Utusan Malaysia.

JITRA 21 Feb. - Lazimnya mereka hanya mengenali beliau melalui media massa yang memaparkan kehebatannya sebagai penyanyi tersohor. Semalam, mereka sama sekali tidak menyangka dapat bertemu secara live dengan penyanyi yang mempunyai vokal amat mengasyikkan, Jamal Abdillah.

Itu yang terjadi kepada penduduk di Kampung Permatang Bonglai, Tunjang dekat sini semasa program Kenali Anak Kita anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Petronas di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai.

Jamal hadir bagi menjayakan kempen yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Kehadiran penyanyi itu jelas menggembirakan penduduk kampung berkenaan yang selama ini hanya mengenali Jamal melalui media massa.

Pada majlis itu, Jamal menyanyikan beberapa lagu bagi menghiburkan para peminatnya selain membantu Pengasih berkempen mengenai salah guna dadah.

Satu program yang dikenali sebagai Bualbicara Kenali Anak Kita turut diadakan yang disertai oleh Dr. Yahya Don daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Khamsiah Ismail daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yang Dipertua Pengasih, Mohd. Yunus Pathi.

Program Bualbicara itu menggunakan pendekatan pendidikan hiburan iaitu forum yang disertai hiburan dengan artis popular akan diundang bagi mengadakan persembahan sebagai daya tarikan.

Kempen tersebut menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai ejen perubahan di dalam institusi keluarga.

Mengulas mengenai program itu, Mohd. Yunus berkata, remaja hari ini perlu ditanam dengan sikap bahawa dalam setiap situasi pasti ada pilihan yang akan membawa kebaikan atau sebaliknya.

Katanya, mereka mesti berani mengatakan 'tidak' terhadap perkara- perkara yang boleh mendorong ke arah perlakuan negatif.

"Keberanian itu akan menyelamatkan mereka dan dengan sendirinya akan membina kekuatan diri dan daya tahan daripada terjerumus kepada perkara yang membahayakan diri seperti penagihan dadah," katanya.

0 ulasan: