Rabu, Februari 24, 2010

GADIS USIA 12 JUAL DIRI


IBU ku seorang tukang urut. Tukang urut kampung, bertemu pelanggan untuk rawatannya di hotel yang tiada nama. Sekali sekala hotel itu dijadian sandaran untuk meraih rezeki bagi membayar sewa rumah dan makan minumnya. Kekadang adalah untung setelah ditolak sewa bilik yang harganya tidak seberapa.

Agak lama sudah, aku tidak bertemu dengan ibuku. Lantas baru-baru ini, aku meluangkan masa bertemu dengannya di hotel itu. Sementara menunggu ibuku bersama pelanggannya selesai, aku melabuhkan punggung di lobi hotel.

Bersantai di kerusi rotan beralaskan kusyen empok, mata aku meliar melihat orang berjalan keluar masuk hotel. Sambil sesekali mata aku menjeling ke arah peti televisyen di hadapan, bagaimanapun mata aku lebih tertumpu memerhati gelagat orang.

Melihat orang berjalan keluar masuk,sambil mata melayan kerenah sekumpulan pendatang Pakistan dengan sekelompok wanita yang bersidai di lobi hotel, adalah ruang rehat yang mengasyikkan. Sebatang demi sebatang rokok jenama “Pall Mall” lari dari kotaknya untuk menerobos masuk ke kerongkong.

Rupanya hotel ini juga telah menjadi tempat jantan bertemu betina. Aku sediri tidak sangka, hotel ini sedang menjadi tempat di mana dipertemukan lelaki gersang dengan perempuan bertubuh montok lagi gebu.

Terselit di celah-celah perempuan bertubuh montok dengan mulut bergincu merah dan make-up tebal, mata aku terpaku kearah seorang gadis sederhana lampainya, ketinggiannya pun tidak seberapa. Kecil molek orangnya.

Sesekali kedengaran juga gadis itu memanggil salah seorang perempuan bertubuh montok itu, “Mama”. Mungkin ibunya, agak aku. Perempuan-perempuan montok itu begitu galak melayan lelaki-lelaki Pakistan yang aku rasa ketandusan kerana isteri ataupun kekasih mereka nun jauh di Asia Tengah.

Kelibat-kelibat antara wanita montok itu kemudian hilang dari pandangan ku, mungkin bersama lelaki-lelaki gersang tadi. Kelibat gadis yang menjadi tumpuan aku tadi turut hilang dari pandangan. Kemudian dia muncul semula, diikuti seorang demi seorang perempuan bertubuh montok kembali melabuh punggung di lobi hotel.

Kemudian gadis itu mundar mandir di hadapan ku. Berseluar jeans, berbaju pink yang terdedah sepenuhnya di bahagian belakang tanpa tali bra sudah cukup membuatkan jantan-jantan gersang mengelegak jiwanya. Apatah lagi payudaranya yang kulihat tidak menonjol sebesar mana.

Gadis itu kemudian bersantai betul-betul di hadapan ku di atas kusyen kerusi rotan. Aku merenung matanya tepat, dia membalas kembali sambil tersenyum. Tetapi, di sebalik senyuman itu aku dapat rasa ada keresahan di hatinya.

Aku lantas bertanya: “Dik umur berapa”.

“12 tahun,” jawabnya ringkas.

“Tak sekolah ke,” tanyaku ingin mencungkil lagi. Gadis itu sekadar mengeleng-gelengkan kepala.

“Abis buat apa, kalau tak sekolah,” Tanya ku lagi.

“Kerja dengan Mama,” jawabnya, membuatkan aku terus faham kerja cari makannya.

Ibu apakah itu, sanggup mengadaikan maruah anak gadisnya yang bawah umur, setelah tubuh badannya tidak lagi laku untuk dijamah lelaki.

Terfikir juga aku, untuk bertanya berapa harganya jika aku melanggan harga badan gadis itu dan perempuan-perempuan bertubuh montok tadi. Tetapi aku tidak tergamak, apatah lagi untuk bertanyakan kepada gadis itu. Tetapi, aku hairan ada juga lelaki yang tergamak meratah gadis itu, dalam usianya semuda 12 tahun.

Isnin, Februari 22, 2010

JAMAL ABDILLAH DI PERMATANG BONGLAI


BARU ini aku bersama Jamal Abdillah dan krew Pengasih berkesempatan ke Permatang Bonglai, Jitra untuk program "Kenali Anak Kita" di Kedah. Rakan aku Nazaruddin dari Utusan Malaysia sempat melaporkan aktiviti kami di sana dan di sini aku selitkan kembali laporan yang tersiar dalam Utusan Malaysia.

JITRA 21 Feb. - Lazimnya mereka hanya mengenali beliau melalui media massa yang memaparkan kehebatannya sebagai penyanyi tersohor. Semalam, mereka sama sekali tidak menyangka dapat bertemu secara live dengan penyanyi yang mempunyai vokal amat mengasyikkan, Jamal Abdillah.

Itu yang terjadi kepada penduduk di Kampung Permatang Bonglai, Tunjang dekat sini semasa program Kenali Anak Kita anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Petronas di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai.

Jamal hadir bagi menjayakan kempen yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Kehadiran penyanyi itu jelas menggembirakan penduduk kampung berkenaan yang selama ini hanya mengenali Jamal melalui media massa.

Pada majlis itu, Jamal menyanyikan beberapa lagu bagi menghiburkan para peminatnya selain membantu Pengasih berkempen mengenai salah guna dadah.

Satu program yang dikenali sebagai Bualbicara Kenali Anak Kita turut diadakan yang disertai oleh Dr. Yahya Don daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Khamsiah Ismail daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yang Dipertua Pengasih, Mohd. Yunus Pathi.

Program Bualbicara itu menggunakan pendekatan pendidikan hiburan iaitu forum yang disertai hiburan dengan artis popular akan diundang bagi mengadakan persembahan sebagai daya tarikan.

Kempen tersebut menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai ejen perubahan di dalam institusi keluarga.

Mengulas mengenai program itu, Mohd. Yunus berkata, remaja hari ini perlu ditanam dengan sikap bahawa dalam setiap situasi pasti ada pilihan yang akan membawa kebaikan atau sebaliknya.

Katanya, mereka mesti berani mengatakan 'tidak' terhadap perkara- perkara yang boleh mendorong ke arah perlakuan negatif.

"Keberanian itu akan menyelamatkan mereka dan dengan sendirinya akan membina kekuatan diri dan daya tahan daripada terjerumus kepada perkara yang membahayakan diri seperti penagihan dadah," katanya.

Rabu, Februari 10, 2010

KASUT INI JAMAL ABDILLAH PUNYA


Kasut ini Jamal abdillah punya. Itulah jawapan yang ku berikan pada rakan-rakan yang bertanya, berapa harga kasut Crocs berwarna biru, yang sering aku pakai untuk ke pejabat. Bukan menjadi kebanggaan ku untuk diceritakan kerana kasut itu dihadiahkan oleh penyanyi tersohor Jamal Abdillah.

Tetapi, sifat pemurah Jamal. Beliau sering bagi begitu saja, baju, seluar dan kasut yang baru dibelinya kepada penghuni-penghuni Rumah Pengasih. Kadang-kadang penghuni itu tidak rapat pun dengan Jamal, tetapi dia ikram (hadiah) juga. Ada kasut dan seluar yang diikramkan itu mencecah ratusan ringgit.

Kasut ini juga menjadi panduan untuk Jamal sama-sama keluar mencari aku, di rumah adik ku, ketika aku meninggalkan Rumah Pengasih suatu ketika dulu. Jika ada kasut itu adalah dia, kata Jamal.

Itulah Jamal Abdillah kini. Tahap kekukuhan spritualnya kini begitu mantap sekali. Solat tidak pernah tinggal. Jika tiada show di mana-mana, Jamal akan sentiasa kelihatan di Surau Ar-Rahman, Rumah Pengasih bila masuk waktu solat lima waktu.

Jamal agak rapat dengan ku. Beliau banyak memberi panduan agar kepulihan ku terus kekal buat selama-lamanya. Beliau juga sering berkongsi pengalaman dengan ku. Bercerita tentang perancangannya masa hadapan, tentang masalah keluarganya, tentang kes-kes mahkamahnya.

Jamal pernah berkata: “Kau tahu aku akan merasa bersalah jika terlibat semula dengan dadah, kerana satu Malaysia akan tahu Jamal Abdillah menagih semula. Tak macam kau dan orang lain, setakat penghuni Rumah Pengasih dan keluarga saja yang tahu, itulah juga adalah antara kekuatan dalam kepulihan ini untuk terus kekal”.

Aku faham, kata-kata Jamal itu. Dia cuba menggambarkan tentang kerisauannya dan kepayahannya menjadi seorang yang di dalam kepulihan berbanding menjadi seorang penagih. Dia merasa amat bersalah kepada rakyat Malaysia dan peminatnya jika beliau terjebak semula.

Kekadang jika ada ruang aku turut ikut Jamal pergi ke shownya di luar. Kagum aku dibuatnya kerana ramai peminat masih menyayangi dia.

Jamal sepatutnya boleh tinggal di luar dan membawa haluannya sendiri, tetapi dia memilih untuk terus tinggal di Rumah Pengasih, kerana aku rasa pasti ada kedamaian dan ketenangannya di sini.

Ahad, Februari 07, 2010

MAAF DARI SALEM



Berakhir ku di pintu besi
Walaupun ku terkurung sepi
Lama lamunan ku hayunkan kaki
Masih adakah pintu maaf dihati
Untuk diriku ini.

Sesampainya di depan rumah ku
Ku hanya berdiri terpaku
Ingin bertemu bersama dirimu
Tetapi rasa hati malu
Ku mengecewakanmu.

Telah ku sedari, ku insafi
Tak ingin lagi, ku ulangi
Hidup dibuih yang terasa
Menyeksa diri.

Berikanlah aku pintu maafmu
Atas segala kesalahan ku
Berikanlah aku kunci hati mu
Hulurkan jabat tanganku
Jangan samakan aku, Seperti dahulu
Kini aku telah berubah, dalam hidup ku.

Telah ku sedari, Ku insafi
Tak ingin lagi, Ku ulangi
Hidup dibuih yang terasa
Menyeksa diri.

Berikanlah aku pintu maafmu
Atas segala kesalahan ku
Berikanlah aku kunci hati mu
Hulurkan jabat tanganku
Jangan samakan aku, seperti dahulu
Kini aku telah berubah, dalam hidup ku.

Berakhir ku di puntu besi
Lamanya ku terkurung sepi
Membuang lamunan ku ayunkan kaki
Masih adakah pintu maaf dihati
Untuk diri ku ini… Untuk diri ku ini.

nota kaki
lagu dan lirik lagu ini begitu terkesan dihati ku, sedikit sebanyak kisah dalam lirik itu menyamai kehidupan ku.

AKU PENGUTIP SAMPAH


Kota ini tidak pernah merasa terhutang pada aku yang mengorbankan wangi dan harum issey, miyaki, minyak atar hingga hiduku kini sukar membezakan masam ketiak sendiri dengan busuk bangkai kucing pecah perut berulat hijau atau kohong perut ikan seminggu diperam dalam tong sampah.

Lambat aku, mereka merungut sampah bertimbun makan gaji buta keluar berita waktu perdana, kerek datangnya bersungut baunya, anak-anak tidak boleh bermain bimbang dibaham lori sampah.

Gadis bertudung atau terlondeh pahanya, boleh memalingkan wajah atau menutup hidung setiap kali aku melintas, kerana itu pun aku merasa tidak terluka, tidak juga merasa darjahku dipijak, tampanku pun tidak luak pada perempuan yang tidak tahu menghargai kebersihan.

Begitu pun aku juga tahu meloya muntah belalah, apabila lori sampahnya lewat sampah masyarakat jalanan, kupu-kupu malam, perempuan jalang, bohsia, pemadat, pemabuk, penjudi, mat rempit dan mengomel aku tidak diberi kuasa mengangkut mereka ke pusat perlupusan agar kota ini lebih bersih.

Saban hari bergayut pada lori angkut sampah, melayakkan aku membina hukum bahawa tidak ada beza sampah sang menteri dengan rakyat biasa, tidak juga wangi sampah ahli korporat dengan sampah setinggan, tidak pula bersih sampah sang hakim berbanding bekas banduan.

Rupa-rupanya sampah mereka tetap sama. – imaen

nota kaki
sajak ini idea asal imaen yang belum pernah tersiar di mana-mana akhbar ataupun majalah, lalu aku robek sajak ini menjadi versi aku.

Jumaat, Februari 05, 2010

AL-USTAZ DR SAM RASPUTIN


MASIH ingat lagu Saya Anak Malaysia oleh Dr Sam Rasputin yang popular sekitar 1986. Lagu itu kini umpama lagu rakyat. Sering berkemundang sebagai lagu tema pada slot-slot tertentu untuk radio mahupun televisyen. Lagu itu sesuai untuk konsep “One Malaysia” masakini.

Ketika di pentas Dr Sam dengan imej dan identiti sendiri. Bertopi ala Pakistan, berjambang dan bercermin mata hitam. Beliau sinonim dengan grup tabilghnya, Musafir yang ketika itu sering lepak-lepak di Masjid India.

Selama lebih 20 tahun mencipta nama dalam seni tanahair, kini nama Dr Sam terus tenggelam. Namun beliau tidak terus menghilang. Dr Sam masih aktif, tapi dengan aktiviti tabilighnya. Sering menyampaikan ceramah kerohanian dan keagamaan di seluruh pelusuk tanahair dan juga luar negara. Beliau layak digelar Al-Ustaz.

Aku baru-baru ini berkesempatan bersamanya dalam satu ceramah keagamaan di Surau Ar-Rahman, Rumah Pengasih. Beliau tidaklah terlalu kerap ke Rumah Pengasih, tetapi sekali sekala muncul untuk dakwahnya di sini.

Walaupun berumur, Dr Sam masih kelihatan gagah. Berbadan tegap dengan jambang panjang berkemutihan dan berambut alun panjang. Berserban hitam kemas dengan jubahnya, persis seorang mujahidin.

Sambil bersantai di atas kerusi, Dr Sam menyampaikan ceramahnya dengan pantulan ayat-ayat yang kemas. Suara garaunya cukup berkesan dan menikam kalbu. Suaranya itu mengingatkan aku pada lagu-lagunya yang lain.

Lagunya yang paling aku suka berjudul Abu Nawas. Lagu-lagu lain yang agak popular ialah Gadis Cengeng, Di Kota Raya dan Hujan Batu. Kini aku tidak pernah mendengar lagu tersebut dimainkan dalam radio dan kedai-kedai pun sudah tidak menjualnya.

Sebelum merakamkan album Dr Sam terlebih dulu mula menimba pengalaman dengan menjadi penyanyi jalanan di luar negara seperti Perancis dan lain-lain. Tetapi, walaupun sebagai penyanyi jalanan, beliau tetap seorang karkun (panggilan untuk ahli-ahli jemaah tabligh)

Paling aku tersentuh hati dan tidak dapat lupakan, ialah ketika Dr Sam berdoa pada penghujung ceramahnya. Beliau begitu khusyuk diiringi dengan rintihan bait-bait perkataan yang begitu penuh keinsafan. Sehingga pada akhiran doa beliau tersedu-sedu dan tidak dapat menahan sebak terus menangis bagi memohon keampunan Allah SWT untuk dosa-dosanya.