Jumaat, Julai 18, 2008

Restu ADUN Lancang






Walaupun blog ini agak lama tidak dikemaskini, tetapi perjalanan ini pasti diteruskan. Aku menghadapi beberapa masalah dalam kembara ini. Aku terpaksa melepaskan peluang mencari pengalaman di Kuala Gandah kerana masalah-masalah yang tidak aku duga hebatnya.

Bagaimanapun ada juga sesetengah pihak yang mempertikaikan ekspedisi yang aku jalani ini. Ada juga yang ragu-ragu. Tiada apa yang untung dari segi imbuhan ataupun kewangan yang dapat aku cari dalam perjalanan ini cuma pengalaman berharga yang dapat aku kutip agar dapat menghayati erti kemanusiaan.

Aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai wartawan semata-mata untuk perjalanan ini. Selepas ekspedisi ini bertemu noktah, mungkin aku menulis semula dan sudah pasti perjalanan ini akan aku abadikan.

Untuk pengetahuan aku melepaskan jawatan sebagai wartawan di akhbar tabloid WARTA PERDANA pada 1 Julai lepas untuk perjalanan ini dan sebelumnya aku hampir 8 tahun sebagai pemberita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Biro Kedah.

Namun ada juga yang mengerti dan simpati akan kembara ini, termasuk orang-orang kenamaan. Antaranya anggota EXCO Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang.

Beliau memberi restu dan mengucap syabas di atas inisiatif kembara ini.

"Saya sangat-sangat merestui perjalanan awak," katanya ketika aku bertemu dengannya di Pusat Khidmat ADUN Lancang, sebelum aku bertolak untuk meneruskan perjalanan.

Beliau membuat catitan di dalam buku log aku. Sayangnya dalam perjalanan buku log yang telah dibuat catatan dan ditandatangani oleh pelbagai individu dan pihak hilang. Mungkin terjatuh dari motosikal yang aku naiki.

0 ulasan: