Jumaat, Februari 05, 2010

AL-USTAZ DR SAM RASPUTIN


MASIH ingat lagu Saya Anak Malaysia oleh Dr Sam Rasputin yang popular sekitar 1986. Lagu itu kini umpama lagu rakyat. Sering berkemundang sebagai lagu tema pada slot-slot tertentu untuk radio mahupun televisyen. Lagu itu sesuai untuk konsep “One Malaysia” masakini.

Ketika di pentas Dr Sam dengan imej dan identiti sendiri. Bertopi ala Pakistan, berjambang dan bercermin mata hitam. Beliau sinonim dengan grup tabilghnya, Musafir yang ketika itu sering lepak-lepak di Masjid India.

Selama lebih 20 tahun mencipta nama dalam seni tanahair, kini nama Dr Sam terus tenggelam. Namun beliau tidak terus menghilang. Dr Sam masih aktif, tapi dengan aktiviti tabilighnya. Sering menyampaikan ceramah kerohanian dan keagamaan di seluruh pelusuk tanahair dan juga luar negara. Beliau layak digelar Al-Ustaz.

Aku baru-baru ini berkesempatan bersamanya dalam satu ceramah keagamaan di Surau Ar-Rahman, Rumah Pengasih. Beliau tidaklah terlalu kerap ke Rumah Pengasih, tetapi sekali sekala muncul untuk dakwahnya di sini.

Walaupun berumur, Dr Sam masih kelihatan gagah. Berbadan tegap dengan jambang panjang berkemutihan dan berambut alun panjang. Berserban hitam kemas dengan jubahnya, persis seorang mujahidin.

Sambil bersantai di atas kerusi, Dr Sam menyampaikan ceramahnya dengan pantulan ayat-ayat yang kemas. Suara garaunya cukup berkesan dan menikam kalbu. Suaranya itu mengingatkan aku pada lagu-lagunya yang lain.

Lagunya yang paling aku suka berjudul Abu Nawas. Lagu-lagu lain yang agak popular ialah Gadis Cengeng, Di Kota Raya dan Hujan Batu. Kini aku tidak pernah mendengar lagu tersebut dimainkan dalam radio dan kedai-kedai pun sudah tidak menjualnya.

Sebelum merakamkan album Dr Sam terlebih dulu mula menimba pengalaman dengan menjadi penyanyi jalanan di luar negara seperti Perancis dan lain-lain. Tetapi, walaupun sebagai penyanyi jalanan, beliau tetap seorang karkun (panggilan untuk ahli-ahli jemaah tabligh)

Paling aku tersentuh hati dan tidak dapat lupakan, ialah ketika Dr Sam berdoa pada penghujung ceramahnya. Beliau begitu khusyuk diiringi dengan rintihan bait-bait perkataan yang begitu penuh keinsafan. Sehingga pada akhiran doa beliau tersedu-sedu dan tidak dapat menahan sebak terus menangis bagi memohon keampunan Allah SWT untuk dosa-dosanya.

0 ulasan: