Isnin, Julai 07, 2008

Cabaran Pertama Ekspedisi

Aku betul-betul teruja. Inilah cabaran pertama yang telah aku lalui dalam ekspesdisi ini. Tiga hari aku terpaksa meninggalkan Kuala Gandah tanpa kakitangan di situ tahu ke mana aku pergi.


Aku terpaksa. Bukan sengaja mahu menghilangkan diri. Mulanya aku ke Mentakab dari Kuala Gandah untuk memperbaiki dan servis motosikal yang menjadi teman aku dalam ekspedisi ini (lihat gambar sebelah, minta maaf Zelmet terpaksa krop muka kau, kerana nak tunjuk motosikal jer).

Banyak rosak, wiring terpaksa buat semula untuk membetulkan semula lampu motosikal yang tiba-tiba sahaja terpadam sewaktu aku pulang malam dari pasar malam Lancang ke Kuala Gandah.

Kaburator terpaksa baiki semula. Rantai dan spoket kena tukar. Tali minyak putus dan lain-lain hal yang terpaksa dibaikpulih. Mekanik cadangkan motosikal itu ditinggalkan untuk sehari kerana terpaksa ambil masa untuk wiring.

Aku tanya budget untuk keseluruhan kos baiki motosikal itu. Hampir RM100. Wang dalam tangan cuma kini tinggal RM128.57. Aku mati akal seketika. Sudah pasti aku akan kehabisan modal bila motosikal itu siap nanti.

Dalam aku termenung sendirian, langsung teringat seorang peniaga yang aku kenali sewaktu bermalam di Raub tempoh hari. Peniaga Cina itu dari Taiping, dia ke Pahang setiap bulan menghantar barangan runcit ke seluruh kampung dan Felda di sekitar Pahang.

Aku hubungi lelaki itu dan bertanyakan jika dia perlukan pembantu untuk menghantar barangan dengan van. Nasib aku baik, dia masih ada tiga hari lagi untuk pulang semula ke Taiping dan kebetulan pembantu yang datang bersamanya deman.

Dia bersetuju aku kerja sementara dengan dia dengan gaji RM35 sehari, makan dan minum dia tanggung. Aku lantas menaiki bas ke Raub dari Mentakab.

Selama tiga hari aku ikut peniaga itu dengan lori menghantar barangan runcit ke kedai-kedai di kawasan luar bandar. Tugas aku mudah, cuma ambil barang dalam lori bila ada permintaan dari pelanggan.

Aku masuk Mempaga, Lembah Klau dan macam-macam tempat lagi. Enjoy juga kerja dengan taukeh Cina ni. Aku tak perlu jelaskan perkara ini kepada kakitangan di pusat konservasi gajah ke mana aku menghilang. Biarlah nanti mereka tahu juga.

Selama tiga hari berkerja aku dapat gaji RM105, tetapi taukeh itu bayar aku RM110. Aku ke Mentakab ambil motosikal kena bayar sebanyak RM115. Nasib baik aku kerja, kalau tidak aku pokai.

Motosikal aku kini dalam kondisi yang mantap. Aku puas hati. Dari situ, aku terpaksa ke Kuala Lumpur satu hari untuk membereskan hal-hal yang tertunggak di sana.

Minta maaf Kuala Gandah, kini aku kembali.

2 ulasan:

Uncleseekers berkata...

Bro,
Lu punya spek tertinggal kat opis Team PSI. Jangan lupa ambil balik.
Uncle

Tanpa Nama berkata...

bukan senang untuk senang dan bukan susah untuk susah.
apapun usaha sendiri adalah nikmat sejati