Jumaat, Ogos 01, 2008

Laksa Di Pulau Chekas



ULU DONG ada pakej untuk menarik pelancong. Selain perkampungan yang damai di Ulu Dong terdapat tempat rekreasi yang menarik seperti Pulau Chekas dan Lata Jarum.

Kerana mahu menghayati kedamaian di Ulu Dong aku mengambil keputusan untuk berkhemah selama dua malam di Pulau Chekas. Aku gunakan khemah yang UNCLE bagi, untuk aku gunakan sepanjang kembara ini.

Sekarang musim buah,durian tengah gugur. Ulu Dong terkenal juga dengan duriannya dan juga lain-lain buah-buahan seperti rambutan, manggis, langsat dan mata kucing.

Jangan terkejut di Pulau Chekas ada juga laksa Telok Kechai yang memang popular di Kedah. Seorang penduduk tempatan, Rosman dan isterinya berniaga makanan dan minuman di Pulau Chekas pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Dia turut menyediakan menu Laksa Telok Kechai. Terubat juga rindu aku terhadap masakan Kedah.

Pulau Chekas mula mendapat perhatian untuk dijadikan tempat rekreasi mulai tahun 1993. Pada mesyuarat jawatankuasa Belia 4B Kampung Peruas bertarikh 19 Julai 1993, mencadangkan Pulau Chekas dijadikan kawasan perkhemahan.

Idea ini telah dipanjangkan ke mesyuarat JKKK Kg. Peruas pada Ogos 1993. Pengerusi JKKK pada ketika itu Abd. Latif Teh telah mengangkat perkara ini ke peringkat atasan.

Mulai tahun 1994, sungai Dong Pulau Chekas dengan rasminya dijadikan Sungai Angkat JPS. Oleh kerana Sungai Dong Pulau Chekas ini terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan, JPS telah membuat keputusan untuk memajukan kawasan tersebut sebagai tempat rekreasi dan juga sebagai salah satu aktiviti penduduk kampung.

Dari tahun 1994 sehingga tahun 1999 Pulau Chekas telah dibangunkan dengan bantuan JPS serta penduduk kampung secara gotong-royong dengan membina kemudahan asas seperti jambatan, tandas, bilik persalinan dan lain-lain.

Pada 13 November 1999 sempena kempen "Cintailah Sungai Kita" Peringkat Negeri Pahang, Pulau Chekas telah diserahkan dengan rasminya kepada Pengurusan JKKK sepenuhnya.

Kini, dengan kemudahan-kemudahan asas yang hampir mencukupi serta landskap yang menarik ditambah dengan kualiti air sungai yang sangat baik menjadikan Pulau Chekas pusat rekreasi yang terkenal di Daerah Raub, Negeri Pahang, Malaysia dan seterusnya antarabangsa.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...bantu kami untuk dapatkan person contact Pusat Rekreasi Pulau Chekas, kami bercadang nak buat program di sana tapi xda link untuk dapatkan maklumat..tenQ