Rabu, Januari 20, 2010

KISAH LELAKI BERNAMA MAN


MAN. Nama panggilan bagi seorang rakan sebaya aku. Sejak dari sekolah rendah, aku bersama Man membesar di sebuah kawasan perkampungan setinggan di pinggir ibu kota. Zaman kanak-kanak, kemudian remaja aku bersama Man penuh dengan kenangan dan nostalgia. Kemudian kami berpisah membawa haluan masing-masing.

Sesekali aku mendengar juga khabar dari Man, pernah juga bersua dengannya. Man masih OK. Baru-baru ini, aku singgah makan di Setapak Jaya, sebuah gerai mamak. Sambil menjamu selera dan juga menjamu mata, aku terpandang seorang lelaki tua yang kurus keding. Duduk dibangku gerai di hadapan ku, tak berbaju sambil membaca surat khabar.

Tangannya terketar-ketar membuka lembaran surat khabar itu. Seperti tak bermaya, di selangseli dengan batuk-batuk kecil.

Selepas makan, aku mahu meninggalkan gerai dan melintasi lelaki itu. Aku henti seketika bila terpandang wajah lelaki yang cengkung itu. Lelaki itu ialah rakan di zaman kanak-kanak aku, Man.

Banyak cerita yang aku kumpul daripada Man, bila kami berbual. Man kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar, giginya pun telah tiada. Rupanya Man hidup terbuang dan keseorangan melawan penyakit. Kehidupannya seolah-olah tidak bakal bertahan lama. Usianya boleh direntap oleh malaikat maut bila-bila masa sahaja. Man sering keluar masuk hospital.

Dengan bantuan Pejabat Zakat RM400 sebulan, Man menyewa bilik di Setapak jaya RM200 sebulan. Tiada lagi sumber pendapatannya, itu saja. Man membawa aku ke biliknya. Di bilik yang tidak terurus, Man sering kepanasan. Dia terpaksa berbogel sepanjang masa di dalam biliknya. Aku simpati melihat perubahan fizikal Man. Bagaikan kulit-kulit sahaja yang menutupi tulang-tulangnya. Isinya telah tiada.

Dulu Man seorang makenik. Gajinya mencecah RM4,000 sebulan. Beristerikan seorang guru dan punyai seorang anak. Kini segala-galanya telah tiada. Mujurlah bekas isterinya sering mengambil berat tentang dirinya, kadangkala dijenguk juga Man untuk memastikan masih adakah hayat Man.

Man menceritakan pada aku wang caruman KWSP yang bakal diperolehi tidak lama lagi. Banyak juga, RM40,000 jumlahnya. Bagi aku, apalah nilai wang sebanyak itu, jika keadaan dirinya ditahap itu. Berjalan pun termengah-mengah. Tapi sifat Man yang aku pasti, keegoannya akan menyerlah bila ia punyai wang yang banyak. Aku rasa biarlah wang yang bakal dia perolehi nanti, sedikit sebanyak disumbangkan untuk membuat kebajikan dan mencari pahala. Sekurang-kurangnya dosa-dosa yang lepas dapat ditebus kembali.

Man adalah secebis kisah manusia yang lupa daratan. Man sering lalai dengan dosa-dosanya. Yang lebih memilukan, Man adalah bekas penagih dadah.

2 ulasan:

Mat Cendana berkata...

Thank you for visiting my "Recovery" blog and leaving a comment. Looks like I'll have to continue writing that post:-) By the way, this is an interesting way of using the Facebook widget - I've never seen anyone else using it like you have, with the pictures.

Unknown berkata...

Tq... Mat Cendana, by the way we are the peer of Leng Kang