Ahad, November 10, 2013

KENALI ANAK KITA DI KEDAH

AKU ralat juga tidak dapat hadir ke Seminar Kenali Anak Kita PETRONAS peringkat Zon Utara yang dianjurkan oleh Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), baru-baru ini.

Ketika seminar itu berlangsung, aku terpaksa berkampung di Sungai Limau, Yan, Kedah kerana tugasan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan jadual yang begitu padat.

Apa pun aku ucapkan tahniah kepada PENGASIH kerana berjaya mengendalikan seminar itu dengan kehadiran lebih 500 peserta terdiri ibu bapa bersama pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Sahabat aku, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Badrolhisham Hashim hadir merasmikan seminar itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen TH Hotel, Alor Setar, Kedah.

Turut hadir boss lama aku, Datuk Mohd Yunus Pathi yang juga Yang DiPertua PENGASIH dan Pemangku Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas) Anita Azrina Abd Aziz.

Menurut Anita Azrina, PETRONAS telahpun menjalin kolaborasi melalui kerjasama pintar dengan PENGASIH untuk mewujudkan persekitaran komuniti sejahtera.

Katanya, program Kenali Anak Kita PETRONAS (KAKP) yang akan dilaksanakan sehingga tahun depan adalah lanjutan program 'Kenali Anak Kita' (KAK) anjuran bersama PENGASIH dari tahun 2009 hingga 2011 bagi menyokong usaha kerajaan membebaskan masyarakat daripada dadah menjelang 2015.

Sementara Badrolhisham yang mewakili Menteri Besar Kedah dalam ucapan perasmian seminar itu berkata, ibu bapa perlu meningkatkan keupayaan menangani tingkah laku anak-anak dengan menimba ilmu dan kemahiran melalui seminar dan program-program seumpama itu.

Syabas dan tahniah sekali lagi buat PENGASIH .

0 ulasan: