OLEH: MATT NAZRIEE HASSAN
Apa pun yang menarik, Kedah kali ini menampilkan tiga tokoh yang bakal bersaing untuk tiga jawatan penting dalam hieraki kepimpinan UMNO di peringkat pusat. Tiga orang itu pula dari satu pejabat dan menawarkan diri bertanding untuk satu nama jawatan, iaitu Naib.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO, Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob pula menawarkan diri untuk jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.
Seorang lagi ‘anak buah’ Mukhriz yang juga Exco dengan portfolio Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Negeri Kedah, Datin Nor Sabrina Mohd Noor juga menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Puteri UMNO.
Jawatan-jawatan tersebut berstatus elit, antara hieraki tertinggi dalam UMNO dan sayap-sayapnya, bukan calang-calang orang yang boleh menawarkan diri untuk bertanding, mesti ada populariti, komitmen tinggi dan paling penting telahpun membuktikan kesungguhan dan kecemerlangan dalam parti.
Apakah nasib mereka?, berjayakah ‘Tiga Naib’ ini, benar-benar menjadi naib untuk kerusi yang mereka masing-masing bersedia untuk mencurah keringat bakti. Kita lihat nanti, siapa yang menjadi?.
DATUK MUKHRIZ TUN DR MAHATHIR
Agak mengejutkan orang ramai kerana Mukhriz belum pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno tetapi terus bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Beliau adalah calon termuda, 49 tahun, berbanding dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (60 tahun), Datuk Seri Hishamuddin Hussein (52 tahun), Datuk Seri Shapie Apdal (56 tahun), Tan Sri Isa Samad (64 tahun) dan Datuk Seri Ali Rustam (64 tahun).
Kenapa terus bertanding jawatan Naib Presiden dengan pengalaman politiknya yang masih muda. Tidak gentarkah Mukhriz untuk bersaing dengan ‘otai-otai’ UMNO yang pernah mencipta beberapa sejarah kemenangan, tidak kurang juga yang begitu masak dengan ketewasan dan penyingkiran dalam UMNO.
Alasan Mukhriz untuk meremajakan UMNO, di samping peluang 50:50 untuk mencipta kemenangan, bukan asas yang kukuh untuk membuatkan beliau menawarkan diri bertanding dan menang. Pastinya ada percaturan dan pertimbangan lain yang menyakinkan dirinya.
Bukan mudah untuk menawan 146,000 orang perwakilan dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober depan, namum Mukhriz sedar popularitinya kini ditahap memuncak dengan segala macam pakej yang beliau miliki.
Apatah lagi, beliau adalah anak seorang negarawan Tun Dr Mahathir Mohammad yang mana populariti bekas Perdana Menteri Malaysia ke-empat itu, masih tidak ada tolak banding.
Mukhriz juga pernah masak dengan kekalahan dalam beberapa pertandingan dalam UMNO, pernah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu dan paling sadis ialah kekalahan pada tahun 2009, beliau menentang Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemuda tetapi tewas kepada Khairy dan Dr Khir Toyo.
Namun kekalahan itu mematangkan dirinya, menjadi lebih dikenali dan menjadi azimat untuk dirinya sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan Naib Presiden ini.
Mukhriz juga menilai percaturan sejarah politik dalam UMNO, Dr Mahathir pernah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 1972 ketika berusia 47 tahun tetapi tewas kerana pada tahun tersebut beliau bukan menteri. Dr Mahathir hanya Senator dan Pengerusi FIMA, ketika itu.
Tetapi tiga tahun kemudian, 1975, ketika berusia 50 tahun, Dr Mahathir menang Naib Presiden Umno kerana ketika itu beliau adalah Menteri Pelajaran. Selain Dr Mahathir, turut menang ialah Tun Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Jika kalah, Mukhriz akan ikut jejak langkah Dr Mahathir yang tewas pada tahun 1972. Tetapi Dr Mahathir menang pada tahun 1975. Ini bermakna jika Mukhriz kalah, pengalamannya cukup masak, beliau ada harapan untuk menang pada tahun 2016.
Tetapi berdasarkan fakta sejarah 1978, Ku Li yang menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan berjaya merampas Kelantan dari PAS pada pilihanraya umum pada tahun tersebut. Ini menyebabkan Ku Li menang tempat pertama dalam pertandingan Naib Presiden Umno pada tahun 1978.
Adakah Mukhriz selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang berjaya merampas Kedah dari PAS pada pilihanraya umum 2013 akan menang Naib Presiden Umno seperti Ku Li?.
Berani saya kata, kejayaan Mukhriz merampas semula Kedah dari PAS, pengaruh bapanya dan popularitinya akan memberi undi kepada Mukhriz pada 19 Oktober depan. Jika Mukhriz menang, siapa yang kena, Zahid, Hishamuddin atau Shapie?.
Percayakah, jika saya katakan Zahid yang akan tersingkir, kenapa bukan Hishamuddin?. Nak kena cakap ka, tak payah lah, tunggu dan lihat sahaja kalau tak percaya.
DATUK SURAYA YAACOB
Suraya, 44 tahun, menolak dakwaan bahawa beliau masih baru dalam wanita, untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO pada 12 Oktober ini.
Beliau bertanding jawatan itu bukan untuk merebut daripada penyandangnya, kerusi itu kosong ekoran naib ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim dipecat dari Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi parlimen Kuala Kangsar pada pilihanraya umum lalu.
Beberapa rekod pertandingan Suraya sebelum ini amat membanggakan, contohnya ketika buat pertama kali bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang pada 2004, tiada harapan tinggi diberikan padanya, namun beliau menang dengan bergaya.
Pilihan raya umum 2008, ketika ramai calon-calon Barisan Nasional (BN) tewas sehingga Kedah diterajui oleh PAS, Suraya menang kerusi DUN Sungai Tiang sekali lagi. Pilihanraya umum 2013, dalam percaturan, ramai yang mengatakan Suraya tidak akan dipilih bertanding dan jika bertanding pun akan kalah, beliau membuktikan dirinya masih unggul.
Rekod menang di Sungai Tiang tiga penggal berturut-turut, yang juga antara kawasan kubu kuat PAS, menarik perhatian Mukriz untuk melantik Suraya sebagai salah seorang anggota Exconya dan menjawat portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Kedah.
Beliau juga berjaya dipilih selama dua penggal untuk menduduki kerusi Exco Puteri UMNO dan satu penggal pada 2009 dalam Exco Wanita UMNO Malaysia.
Pengalaman berkempen Suraya akan digunakan lagi dalam pertandingan naib ketua wanita kali ini dengan mendekati seberapa ramai perwakilan wanita secara individu.
Pencabar Suraya, Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Datuk Hamidah Osman yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, juga mempunyai peluang untuk meraih jawatan itu, namun dilihat Hamidah lebih mambawa cabaran untuk bersaing dengan Suraya.
Kemudian penarikan diri Hamidah bagi bertanding jawatan itu cukup melegakan Suraya kerana beliau kini hanya perlu berhadapan dengan Azizah.
Dalam menghadapi persaingan seperti ini, Suraya dilihat lebih kental dan strateginya lebih mantap berbanding kedua-dua pencabarnya. Saya yakin Suraya akan menang dalam pertandingan ini untuk jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia bagi penggal 2013-2015.
DATIN NOR SABRINA MOHD NOOR
Sebagai calon termuda BN Kedah pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Nor Sabrina, 34, telah membuktikan kemampuannya dengan berjaya menewaskan calon PAS Mohd Khairi Mohd Salleh dengan majoriti 2,069 undi di kerusi DUN Bandar Baharu.
Sebagai Ketua Puteri UMNO Kulim-Bandar Baharu dan juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sebelum ini, Nor Sabrina dilihat agak kurang menonjol dalam dalam kerja-kerja politiknya, beliau lebih banyak menghabiskan masa di Melaka dengan sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka.
Bagi kembali memantapkan karier politiknya, Mukhriz kemudian melantik Nor Sabrina sebagai salah seorang anggota exco dalam kerajaan negeri dengan memegang portfolio Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi.
Mungkin ada sedikit kelebihan bagi Nor Sabrina dalam menghadapi pertandingan Naib Ketua Puteri UMNO ini, Mukhriz sebagai bossnya kini dan boss lamanya Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga calon Naib Presiden, mungkin boleh bersuara kepada ahli-ahli puteri negeri masing-masing untuk memberi undi kepada Nor Sabrina.
Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Shahanim Mohd Yusof juga dari Kedah yang kali ini bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sedikit sebanyak boleh juga membantu untuk wakil dari Kedah ini terus dikekalkan sebagai Naib Ketua dalam pergerakan puteri.
Namun itu bukan penentunya lagi, kerana pesaing Nor Sabrina bagi jawatan naib ketua puteri bukan calang-calang juga iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Zahida Zarikh Khan dan Nazliah Ali, Ketua Puteri UMNO Bahagian Tawau.
Namun kelebihan dilihat terarah kepada Nazliah untuk memenangi jawatan naib ketua puteri kali ini kerana Ketua Puteri UMNO sekarang, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bakal berkempen habis-habisan untuk Nazliah.
Nampak gaya, saya yakin Nor Sabrina akan gagal melengkapkan kuota ‘Tiga Naib’ dari Kedah.
0 ulasan:
Catat Ulasan