Isnin, Mac 15, 2010

SIREH PULANG KE GANGGANG


IBARAT sireh pulang ke ganggang, itulah yang boleh aku katakan bila mengikuti rombongan Yang DiPertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi ke PUSPEN Besut, baru-baru ini.

Apa yang menarik, seolah-olah aku dapat merasakan dan mengimbas kembali perjalanan hidup Mohd Yunus yang penuh ranjau dan onak berduri sehingga beliau kembali bangun untuk menjadi seorang manusia selepas mendapat rawatan di pusat itu kira-kira 27 tahun yang lampau.

Semuanya ini bermula pada sekitar tahun 1983, apabila beliau ditangkap polis dan dimasukkan ke Pusat Serenti Besut yang kini dikenali sebagai PUSPEN Besut. Kini beliau kembali semula ke pusat itu bagaikan “sireh pulang ke ganggang”. Tetapi “kepulangan” beliau ke situ sebagai seorang yang telah berjaya di dalam kepulihan dan kini mendapat tempat dalam masyarakat.

Aku dapat melihat keyakinan Mohd Yunus melangkah masuk ke pusat itu. Beliau kelihatan flamboyant dengan baju batik berwarna biru, seluar hitam bersih dan Eau de Toilette Polo Ralph Lauren. Kasutnya sentiasa bersih, stokinnya sepadan dengan warna seluar dan kasut, janggutnya dipotong rapat.

Sambil-sambil itu, juga sempat aku membuat perkiraan, jika aku tidak bersama Pengasih inilah tempat aku jua akhirnya.

Mohd Yunus yang aku kenali adalah seorang yang diplomatik kerana bercakap dengan agak berhati-hati depan orang yang tidak dikenali sebaliknya di hadapan anak didiknya residen Rumah pengasih ternyata beliau seorang yang tegas, adakala garang, kompulsif tetapi bersifat ambil berat (caring).

Mohd Yunus hadir ke pusat itu bagi berkongsi pengalaman dengan pelatih-pelatih PUSPEN Besut tempat yang mana beliau pernah mendapat rawatan dan menjadikan dirinya sebagai seorang yang berguna dan dikagumi oleh masyarakat kini.

“Perubahan memang mudah tetapi untuk melaksanakan banyak cabaran yang harus ditempuhi, “ ujar Mohd Yunus bagi memulakan bicaranya selepas berjemaah solat Mahgrib bersama-sama pelatih pusat itu.

Katanya, memang sukar untuk dinafikan bahawa setiap penagih dadah dalam kepulihan sentiasa berdepan dengan ancaman penagihan semula (relapse).

Beliau mengaitkan dirinya yang kini sudah 27 tahun bebas dari dadah dan walaupun kini beliau telah membina keyakinan masyarakat terhadapnya beliau sentiasa dalam pertarungan untuk bebas dadah.

“Tetapi pilihan di tangan saya. Hanya keimanan dan tahap spiritual yang tinggi yang menyelamatkan saya sehingga ke tahap kini,” katanya lagi.

Mohd Yunus banyak menggunakan elemen terapeutik yang digunakan untuk meninggalkan dadah dan terus kekal dalam kepulihannya.

Beliau mengimbas kembali, bagaimana beliau boleh dihantar ke PUSPEN Besut untuk dikongsi bersama.

“Tempoh enam bulan terakhir pada tahun 1983 menyaksikan saya sering keluar masuk lokap kerana kesalahan-kesalahan seperti menggunakan dadah, tidak mempunyai kad pengenalan diri serta disyaki sebagai ejen pengedar dadah,” ujarnya.

Hari demi hari, beliau terjunam ke dalam jurang penagihan dadah. Dan kabus kedaifan yang membungkus hidupnya semakin menebal.

Pada pagi hari raya, tahun tersebut ketika orang sibuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, beliau bersama dua orang rakannya berselindung di balik sebuah kotak usang, lantas memulakan proses pengambilan heroin.

Tidak semena-mena, entah dari mana datangnya, meluru datang dua orang anggota polis narkotik berpakaian preman menggari mereka. Kedua-dua mereka dibawa menaiki van menuju ke Balai Polis Dang wangi.

Dua hari berikutnya, Mohd Yunus bersama lima pesalah yang lain dibawa menaiki van menuju ke Terengganu. Setelah menempuh perjalanan yang panjang mengambil waktu kira-kira lapan jam, van tersebut tiba di perkarangan Pusat Insaf Diri Besut yang kini dikenali sebagai PUSPEN Besut.

Mohd Yunus pasrah dalam lamunan ombak kehidupannya sehingga ke hari raya pertama pada tahun 1983, bila beliau menjadi salah seorang penghuni pusat itu.

Keinsafan bermula bila beliau jatuh sakit ketika mula-mula mendapat rawatan di pusat itu. Beliau jatuh pengsan dan dikejarkan ke Hospital Daerah Besut dan dimasukkan ke wad kecemasan. Beberapa jam beliau sedar kembali dan merasa lega mendapati dirinya masih hidup.

“Dalam kedaan sedar tidak sedar itu, saya dapat menangkap suatu suara bisikan melalui cuping telinganya yang mengucapkan bacaan-bacaan dalam sembahyang. Saya melirik mata untuk mengesan punca suara itu,

Lalu kelihatan seorang wanita bertelekung putih sedang sedang bersolat berhampiran katil saya. Saya tidak kenal wanita itu tetapi amalan wanita itu benar-benar membuat hati saya tersentuh,” ujar beliau.

Sejak dari peristiwa itu beliau mulai insaf dan bertekad untuk kembali ke pangkal jalan untuk mencari keredaan Ilahi. Mohd Yunus kembali ke pusat serenti seperti seorang yang dilahirkan kembali lalu menjalani pemulihan dengan penuh komitmen khususnya dalam usaha untuk meningkatkan ketakwaannya.

Selepas itu Mohd Yunus mula membina keyakinan diri dan tidak segan silu menyatakan kepada masyarakat bahawa beliau adalah bekas penagih dadah dan membuktikan kepada mereka bahawa beliau dan rakan-rakan penagih yang lain juga boleh berubah.

Selepas keluar dari pusat itu, beliau mula mengumpul rakan-rakan sebagai kelompok pembimbing rakan sebaya. Lama kelamaan ianya berkembang sehingga dapat menubuhkan Pengasih seperti yang wujud hari ini. Beliau kemudian mendapat latihan dalam pemulihan penyalahgunaan bahan (substance abuse treatment) di Daytop, Amerika Syarikat dan sebahagian model itu dibawa balik ke Malaysia bagi menggerakkan Rumah pengasih.

2 ulasan:

apek berkata...

kau selalu ikut diaorang ek?? baguslah kau.. semoga kau diredhai Allah s.w.t. selalu.

cobraeite berkata...

Aku selalu bersama Pengasih Lekir... tq lekir