Ahad, Mei 07, 2017

PELUK ISLAM DI PROGRAM PELANCONGAN


GERIK, PERAK : Siapa sangka satu program pelancongan yang diadakan di perkampungan Orang Asli berjaya menarik sepasang suami isteri dari masyarakat itu memeluk agama Islam.

Program pelancongan di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Taman Negeri Royal Belum dekat Gerik, Perak yang berkonsepkan Islam itu diperkenalkan buat pertama kali oleh Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak.

Seramai 30 pelajar dari Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Air Jernih, Gerik terlibat dalam program "Syahadah Trail" selama tiga hari yang baru sahaja berakhir.

Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak, Mohd Hizaz Mohd Ibrahim berkata, program itu dilaksanakan bagi memeriahkan Tahun Melawat Perak 2017 di samping untuk mempromosikan Taman Negeri Royal Belum kepada ilmuan agama.

Beliau berkata, perkampungan Orang Asli di Royal Belum merupakan antara aset pelancongan yang menjadi tumpuan, bagi pengunjung yang ingin merasai kepelbagaian budaya unik di situ.

Namun, katanya, kehadiran pelajar tahfiz di situ, disulami dengan program amal mempraktis cara hidup Islam dan perkongsian ilmu bersama masyarakat Orang Asli dengan pelbagai aktiviti, antaranya kelas fardhu ain, solat berjemaah dan teknik penyembelihan binatang secara Islam.

Mohd. Hizaz berkata, pada hari kedua program itu berlangsung, tiba-tiba sepasang suami isteri Orang Asli menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam dan ini merupakan satu keberkatan dan kejayaan bagi program pelancongan seperti ini.

"Program kerjasama yang sangat unik yang pernah kita anjurkan kerana program ini berlainan daripada program yang lain yang kita anjurkan sebelum ini yang mana program ini pengisiannya adalah dua ojektif, yang pertama pelancongan dan satu lagi amal, yang mana selama tiga hari kita berada di Royal Belum ini kita telah menganjurkan program bersama Orang Asli, 

"yang penting yang kita nak sampaikan pada orang ramai, pada perlaksanaan program ni pada hari kedua kita telah Berjaya menarik minat dua penduduk orang asli yang bukan beragama Islam untuk memeluk agama Islam dan saya rasa ini satu yang membanggakan bagi pihak saya dan agensi yang terlibat," kata Mohd Hizam

Satu majlis mengislamkan pasangan suami isteri, Anan a/p Kenabang dan Amat a/l Lazim, masing-masing berusia 19 tahun, berjalan lancar dengan kerjasama pelajar-pelajar tahfiz terbabit.

Upacara mengucap syahadah untuk memeluk Islam disempurnakan oleh Mubaligh Islam Orang Asli, Ustaz Mohd Bahari Latih.

Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak kemudian menyerahkan sedikit sumbangan kepada kedua-dua saudara baharu Islam itu yang disampaikan oleh Mohd Hizaz sendiri.

Bagi Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Roslan Matdaud, beliau memang mengalu-alukan mana-mana pihak menganjurkan sebarang program di penempatan mereka, namun kesediaan sepasang suami isteri ini untuk memeluk agama Islam dalam program ini adalah diluar dugaan sama sekali.

Katanya, agak sukar untuk menarik masyarakat Orang Asli di sini yang tidak sampai 500 orang jumlahnya untuk memeluk Islam, kerana majoriti mereka masih mengamalkan kepercayaan animisme.

"Jadi program ini telah memberi apa orang kata pengajaran yang lagi baik…. Kami sendiri tak sangka ada lagi penduduk orang asli di sini nak peluk agama Islam jadi itu saya amat terharulah,".
Peserta Jejak Syahadah, Hanif Mohd Zain berkata, beliau sendiri agak teruja apabila pasangan suami isteri muda itu tiba-tiba terbuka hati untuk memeluk Islam secara tiba-tiba dan ini merupakan satu pengalaman baharu bagi dirinya.

Selain itu, katanya, melalui program ini beliau dan rakan-rakannya turut dapat berkongsi ilmu terhadap budaya kehidupan seharian masyarakat Orang Asli seperti menyumpit, memasak ubi kayu dan menjerat binatang.

"Di samping menjalankan program ni, kami mengadakan kelas asas ilmu fardhu ain kepada mereka dan melalui ilmu asas fardhu ain ini, jadi serba sedikit menceritakan kepada mereka tentang para sahabat Islam dan kelebihan memeluk Islam yang mana untuk mendapat tiket ke syurga," katanya

Sementara itu, saudara baharu perempuan, Anam Kenabang berkata, kali ini secara tiba-tiba beliau terbuka hati untuk memeluk Islam yang agak sukar untuk dilakukan sebelum ini kerana ibu bapanya dan ahli keluarganya masih kuat mengamalkan adat mereka.

Berbanding suaminya, Amat Lazim, yang majoriti ahli keluarganya telahpun memeluk Islam, beliau bersyukur kerana kesediaan isterinya untuk memeluk Islam secara rela hati.

Ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu Amat Lazim selama ini, untuk merealisasikan hasrat mereka untuk memeluk Islam secara bersama.

"saya sangat terharu isteri saya masuk Islam, saya tak paksa dia masuk Islam, dia rela dengan senang hati nak masuk Islam," katanya

0 ulasan: