RAMAI yang kecewa, tidak kurang juga yang terpaksa mengalirkan air mata, apabila keputusan tidak memihak kepada Datuk Mukhriz Mahathir dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO.
Menteri Besar Kedah itu tewas tipis dalam persaingan merebut tempat ketiga jawatan Naib Presiden dengan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien yang meraih 101 undi dengan Mukhriz sekadar memperoleh 91 undi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal unggul mendahului dengan 185 dan 174 undi. Manakala dua lagi Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Abdul Isa samad sekadar mendapat 15 undi jika kedua-dua undi mereka itu dicampur.
Jika keduanya tidak bertanding dengan andaian 15 undi itu pergi kepada Mukhriz, maka sudah pastinya Mukhriz yang menang.
Apapun, pemerhati politik menyifatkan 'kekalahan' ini merupakan satu kemenangan besar bagi Mukhriz yang pertama kali bersaing bagi merebut jawatan nombor tiga dalam hireiki kepimpinan UMNO.
Apa tidaknya, dalam ada pihak-pihak yang turut menyarankan agar Mukhriz menggunakan sedikit pengaruh 'wang' bagi menjamin kemenangannya, namun beliau menolak dan tidak berminat sama sekali untuk meraih kemenangan dengan cara begitu.
Biarlah.... kalau kalah pun merupakan satu kekalahan yang bermaruah, katanya.
Perwakilan dan mereka yang layak mengundi, memilih dan memangkah pun tahu, memang arif benar tiada sebarang 'pelincir' yang mereka dapat daripada Mukhriz untuk beliau meraih 91 undi itu.
Undi itu ikhlas, tanpa sebarang pengaruh 'sampingan'. Undi itu juga membuatkan jantung banyak pihak dalam debaran dan bukan calang-calang orang mampu memiliki pengaruh sedemikian yang dapat meraih undi budiman seperti ini.
Sebagai aset dan modal untuk pemilihan akan datang, Mukhriz telah punyai segalanya untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja pencabarnya nanti.
Kekalahan ini tidak langsung mengecewakannya, kerana beliau telahpun merasai tekanan kekalahan sebelum ini.
Malah Kemunculan Mukhriz di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ketika sudah tahu kekalahan berpihak kepadanya, pada jam 1 pagi selepas pemilihan, mengejutkan banyak pihak.
Bagaimanapun, Tajol Rosli ketika ditanya mengenai pertemuan dengan singkat Mukhriz, berkata kehadiran Menteri Besar Kedah itu bukanlah untuk mengemukakan bantahan.
"Beliau hadir sebagai seorang lelaki budiman (gentleman) kerana menyangkakan calon yang lain juga berada di sini.
"Tiada bantahan atau sebagainya. Beliau tahu keputusan tidak menyebelahinya tetapi hadir kerana sangka yang lain ada di sini. Itu saja," katanya.
Walaupun gagal dalam percubaan merebut satu daripada tiga jawatan Naib Presiden Umno, Mukhriz berjanji akan terus memberi sumbangan kepada agenda transformasi parti itu.
Beliau masih mahu menyumbang atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.
"Saya tidak fikir dengan keputusan ini, saya hilang secara tiba-tiba daripada arena politik.
Mengulas lanjut mengenai pertandingan sengit itu, Mukhriz berkata beliau berpuas hati dengan keputusan itu kerana ia memberikan keyakinan baharu terhadap masa depan politiknya.
"Saya terkejut dengan apa yang saya dicapai memandangkan saya terpaksa bersaing dengan penyandang di sebalik sikap pesimis dalam kalangan beberapa pihak mengenai pencalonan saya.
"Pertandingan ini sangat sengit. Saya menyerahkan kepada Allah dan menerima keputusan ini sebagai satu rahmat yang terselindung," katanya.
Yang pasti, suatu hari nanti kemenangan akan berpihak jua kepada si budiman dan kemenangan berpaksikan 'habuan' bukan lagi legasi untuk meneruskan kepimpinan.
0 ulasan:
Catat Ulasan