Isnin, Jun 30, 2008

Ekspedisi Tanpa Noktah


Salam Sejahtera untuk semua.

Aku pun tidak pasti kenapa keputusan ini aku ambil, setelah aku berehat selama sebulan cuti tanpa gaji dengan sebuah akhbar tabloid popular, akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidak mahu bertugas lagi di akhbar itu sebagai wartawan.

Aku nekad dengan azam dan cita-cita membara untuk mengembara dan berkelana secara solo ke seluruh pelusuk semenanjung ini bermula 1 Julai 2008.

Aku akan mulakan kembara ini dari Taman Seri Gombak bermodalkan wang di saku sebanyak RM70.57 iaitu jumlah yang sama dengan nombor pendaftaran kenderaan aku gunakan dalam ekspedisi ini, iaitu 7057.

Kembara ini akan dimulai ke destinasi Pantai Timur terlebih dahulu. Di sepanjang perjalanan aku sanggup menempuh apa saja rintangan dalam perjuangan hidup sepanjang ekspedisi dengan modal yang terhad.

Sudah pasti aku akan melakukan apa saja perkerjaan yang halal sepanjang kembara dan bermukim di sesebuah destinasi dalam tempoh jangka waktu yang tidak dapat dipastikan. Mungkin dua hari, boleh jadi seminggu dan aku sanggup berbulan-bulan lamanya untuk mencari modal dan sumber kewangan untuk meneruskan ekspedisi ini. Justeru itu aku perlukan sokongan sesiapa sahaja seperti penduduk setempat, individu dan kumpulan yang ingin melihat aku jayakan ekspedisi ini tanpa sia-sia.

Dalam kembara ini, aku menanam tekad bekerja sambil menimba pengalaman hidup untuk aku catatkan dalam laman blog ini. Aku sanggup bekerja sementara atau sebagai pekerja sukerela tanpa gaji untuk aku menimba pengalaman hidup.

Dan sudah pasti aku perlukan sedikit modal untuk aku teruskan perjalanan yang berikutnya. Nantikan kemunculan aku dengan Ekspedisi Tanpa Noktah ini dalam Cobraeite Ekspedisi di tempat anda untuk aku berkelana.

Aku amat berbesar hati kiranya khidmat dan tenaga aku diperlukan diperjalanan ini. Hubungi aku di talian 013-5181512 pasti aku cari di mana lokasinya.

Catatan perjalanan dan ekspedisi ini akan aku catitkan dalam laman blog ini dari masa kesemasa. Aku perlukan kerjasama dari semua pihak.

Sekian. Salam kembara dari
-MATT NAZRIEE HASSAN-

0 ulasan: