AKU ralat juga tidak dapat hadir ke Seminar Kenali
Anak Kita PETRONAS peringkat Zon Utara yang dianjurkan oleh Persatuan
Pengasih Malaysia (PENGASIH), baru-baru ini.
Ketika seminar itu berlangsung, aku terpaksa berkampung di
Sungai Limau, Yan, Kedah kerana tugasan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan jadual yang begitu padat.
Apa pun aku ucapkan tahniah kepada PENGASIH kerana berjaya mengendalikan
seminar itu dengan kehadiran lebih 500 peserta terdiri ibu bapa bersama
pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Sahabat aku, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Badrolhisham Hashim hadir merasmikan seminar
itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen TH Hotel, Alor Setar, Kedah.
Turut hadir boss lama aku, Datuk Mohd Yunus Pathi yang juga
Yang DiPertua PENGASIH dan Pemangku Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat Kumpulan
Petronas) Anita Azrina Abd Aziz.
Menurut Anita Azrina, PETRONAS telahpun menjalin kolaborasi
melalui kerjasama pintar dengan PENGASIH untuk mewujudkan persekitaran komuniti
sejahtera.
Katanya, program Kenali Anak Kita PETRONAS (KAKP) yang akan
dilaksanakan sehingga tahun depan adalah lanjutan program 'Kenali Anak Kita'
(KAK) anjuran bersama PENGASIH dari tahun 2009 hingga 2011 bagi menyokong usaha
kerajaan membebaskan masyarakat daripada dadah menjelang 2015.
Sementara Badrolhisham yang mewakili Menteri Besar Kedah
dalam ucapan perasmian seminar itu berkata, ibu bapa perlu meningkatkan
keupayaan menangani tingkah laku anak-anak dengan menimba ilmu dan kemahiran
melalui seminar dan program-program seumpama itu.