Rabu, Februari 24, 2010

GADIS USIA 12 JUAL DIRI


IBU ku seorang tukang urut. Tukang urut kampung, bertemu pelanggan untuk rawatannya di hotel yang tiada nama. Sekali sekala hotel itu dijadian sandaran untuk meraih rezeki bagi membayar sewa rumah dan makan minumnya. Kekadang adalah untung setelah ditolak sewa bilik yang harganya tidak seberapa.

Agak lama sudah, aku tidak bertemu dengan ibuku. Lantas baru-baru ini, aku meluangkan masa bertemu dengannya di hotel itu. Sementara menunggu ibuku bersama pelanggannya selesai, aku melabuhkan punggung di lobi hotel.

Bersantai di kerusi rotan beralaskan kusyen empok, mata aku meliar melihat orang berjalan keluar masuk hotel. Sambil sesekali mata aku menjeling ke arah peti televisyen di hadapan, bagaimanapun mata aku lebih tertumpu memerhati gelagat orang.

Melihat orang berjalan keluar masuk,sambil mata melayan kerenah sekumpulan pendatang Pakistan dengan sekelompok wanita yang bersidai di lobi hotel, adalah ruang rehat yang mengasyikkan. Sebatang demi sebatang rokok jenama “Pall Mall” lari dari kotaknya untuk menerobos masuk ke kerongkong.

Rupanya hotel ini juga telah menjadi tempat jantan bertemu betina. Aku sediri tidak sangka, hotel ini sedang menjadi tempat di mana dipertemukan lelaki gersang dengan perempuan bertubuh montok lagi gebu.

Terselit di celah-celah perempuan bertubuh montok dengan mulut bergincu merah dan make-up tebal, mata aku terpaku kearah seorang gadis sederhana lampainya, ketinggiannya pun tidak seberapa. Kecil molek orangnya.

Sesekali kedengaran juga gadis itu memanggil salah seorang perempuan bertubuh montok itu, “Mama”. Mungkin ibunya, agak aku. Perempuan-perempuan montok itu begitu galak melayan lelaki-lelaki Pakistan yang aku rasa ketandusan kerana isteri ataupun kekasih mereka nun jauh di Asia Tengah.

Kelibat-kelibat antara wanita montok itu kemudian hilang dari pandangan ku, mungkin bersama lelaki-lelaki gersang tadi. Kelibat gadis yang menjadi tumpuan aku tadi turut hilang dari pandangan. Kemudian dia muncul semula, diikuti seorang demi seorang perempuan bertubuh montok kembali melabuh punggung di lobi hotel.

Kemudian gadis itu mundar mandir di hadapan ku. Berseluar jeans, berbaju pink yang terdedah sepenuhnya di bahagian belakang tanpa tali bra sudah cukup membuatkan jantan-jantan gersang mengelegak jiwanya. Apatah lagi payudaranya yang kulihat tidak menonjol sebesar mana.

Gadis itu kemudian bersantai betul-betul di hadapan ku di atas kusyen kerusi rotan. Aku merenung matanya tepat, dia membalas kembali sambil tersenyum. Tetapi, di sebalik senyuman itu aku dapat rasa ada keresahan di hatinya.

Aku lantas bertanya: “Dik umur berapa”.

“12 tahun,” jawabnya ringkas.

“Tak sekolah ke,” tanyaku ingin mencungkil lagi. Gadis itu sekadar mengeleng-gelengkan kepala.

“Abis buat apa, kalau tak sekolah,” Tanya ku lagi.

“Kerja dengan Mama,” jawabnya, membuatkan aku terus faham kerja cari makannya.

Ibu apakah itu, sanggup mengadaikan maruah anak gadisnya yang bawah umur, setelah tubuh badannya tidak lagi laku untuk dijamah lelaki.

Terfikir juga aku, untuk bertanya berapa harganya jika aku melanggan harga badan gadis itu dan perempuan-perempuan bertubuh montok tadi. Tetapi aku tidak tergamak, apatah lagi untuk bertanyakan kepada gadis itu. Tetapi, aku hairan ada juga lelaki yang tergamak meratah gadis itu, dalam usianya semuda 12 tahun.

Isnin, Februari 22, 2010

JAMAL ABDILLAH DI PERMATANG BONGLAI


BARU ini aku bersama Jamal Abdillah dan krew Pengasih berkesempatan ke Permatang Bonglai, Jitra untuk program "Kenali Anak Kita" di Kedah. Rakan aku Nazaruddin dari Utusan Malaysia sempat melaporkan aktiviti kami di sana dan di sini aku selitkan kembali laporan yang tersiar dalam Utusan Malaysia.

JITRA 21 Feb. - Lazimnya mereka hanya mengenali beliau melalui media massa yang memaparkan kehebatannya sebagai penyanyi tersohor. Semalam, mereka sama sekali tidak menyangka dapat bertemu secara live dengan penyanyi yang mempunyai vokal amat mengasyikkan, Jamal Abdillah.

Itu yang terjadi kepada penduduk di Kampung Permatang Bonglai, Tunjang dekat sini semasa program Kenali Anak Kita anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Petronas di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai.

Jamal hadir bagi menjayakan kempen yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Kehadiran penyanyi itu jelas menggembirakan penduduk kampung berkenaan yang selama ini hanya mengenali Jamal melalui media massa.

Pada majlis itu, Jamal menyanyikan beberapa lagu bagi menghiburkan para peminatnya selain membantu Pengasih berkempen mengenai salah guna dadah.

Satu program yang dikenali sebagai Bualbicara Kenali Anak Kita turut diadakan yang disertai oleh Dr. Yahya Don daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Khamsiah Ismail daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yang Dipertua Pengasih, Mohd. Yunus Pathi.

Program Bualbicara itu menggunakan pendekatan pendidikan hiburan iaitu forum yang disertai hiburan dengan artis popular akan diundang bagi mengadakan persembahan sebagai daya tarikan.

Kempen tersebut menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai ejen perubahan di dalam institusi keluarga.

Mengulas mengenai program itu, Mohd. Yunus berkata, remaja hari ini perlu ditanam dengan sikap bahawa dalam setiap situasi pasti ada pilihan yang akan membawa kebaikan atau sebaliknya.

Katanya, mereka mesti berani mengatakan 'tidak' terhadap perkara- perkara yang boleh mendorong ke arah perlakuan negatif.

"Keberanian itu akan menyelamatkan mereka dan dengan sendirinya akan membina kekuatan diri dan daya tahan daripada terjerumus kepada perkara yang membahayakan diri seperti penagihan dadah," katanya.

Rabu, Februari 10, 2010

KASUT INI JAMAL ABDILLAH PUNYA


Kasut ini Jamal abdillah punya. Itulah jawapan yang ku berikan pada rakan-rakan yang bertanya, berapa harga kasut Crocs berwarna biru, yang sering aku pakai untuk ke pejabat. Bukan menjadi kebanggaan ku untuk diceritakan kerana kasut itu dihadiahkan oleh penyanyi tersohor Jamal Abdillah.

Tetapi, sifat pemurah Jamal. Beliau sering bagi begitu saja, baju, seluar dan kasut yang baru dibelinya kepada penghuni-penghuni Rumah Pengasih. Kadang-kadang penghuni itu tidak rapat pun dengan Jamal, tetapi dia ikram (hadiah) juga. Ada kasut dan seluar yang diikramkan itu mencecah ratusan ringgit.

Kasut ini juga menjadi panduan untuk Jamal sama-sama keluar mencari aku, di rumah adik ku, ketika aku meninggalkan Rumah Pengasih suatu ketika dulu. Jika ada kasut itu adalah dia, kata Jamal.

Itulah Jamal Abdillah kini. Tahap kekukuhan spritualnya kini begitu mantap sekali. Solat tidak pernah tinggal. Jika tiada show di mana-mana, Jamal akan sentiasa kelihatan di Surau Ar-Rahman, Rumah Pengasih bila masuk waktu solat lima waktu.

Jamal agak rapat dengan ku. Beliau banyak memberi panduan agar kepulihan ku terus kekal buat selama-lamanya. Beliau juga sering berkongsi pengalaman dengan ku. Bercerita tentang perancangannya masa hadapan, tentang masalah keluarganya, tentang kes-kes mahkamahnya.

Jamal pernah berkata: “Kau tahu aku akan merasa bersalah jika terlibat semula dengan dadah, kerana satu Malaysia akan tahu Jamal Abdillah menagih semula. Tak macam kau dan orang lain, setakat penghuni Rumah Pengasih dan keluarga saja yang tahu, itulah juga adalah antara kekuatan dalam kepulihan ini untuk terus kekal”.

Aku faham, kata-kata Jamal itu. Dia cuba menggambarkan tentang kerisauannya dan kepayahannya menjadi seorang yang di dalam kepulihan berbanding menjadi seorang penagih. Dia merasa amat bersalah kepada rakyat Malaysia dan peminatnya jika beliau terjebak semula.

Kekadang jika ada ruang aku turut ikut Jamal pergi ke shownya di luar. Kagum aku dibuatnya kerana ramai peminat masih menyayangi dia.

Jamal sepatutnya boleh tinggal di luar dan membawa haluannya sendiri, tetapi dia memilih untuk terus tinggal di Rumah Pengasih, kerana aku rasa pasti ada kedamaian dan ketenangannya di sini.

Ahad, Februari 07, 2010

MAAF DARI SALEM



Berakhir ku di pintu besi
Walaupun ku terkurung sepi
Lama lamunan ku hayunkan kaki
Masih adakah pintu maaf dihati
Untuk diriku ini.

Sesampainya di depan rumah ku
Ku hanya berdiri terpaku
Ingin bertemu bersama dirimu
Tetapi rasa hati malu
Ku mengecewakanmu.

Telah ku sedari, ku insafi
Tak ingin lagi, ku ulangi
Hidup dibuih yang terasa
Menyeksa diri.

Berikanlah aku pintu maafmu
Atas segala kesalahan ku
Berikanlah aku kunci hati mu
Hulurkan jabat tanganku
Jangan samakan aku, Seperti dahulu
Kini aku telah berubah, dalam hidup ku.

Telah ku sedari, Ku insafi
Tak ingin lagi, Ku ulangi
Hidup dibuih yang terasa
Menyeksa diri.

Berikanlah aku pintu maafmu
Atas segala kesalahan ku
Berikanlah aku kunci hati mu
Hulurkan jabat tanganku
Jangan samakan aku, seperti dahulu
Kini aku telah berubah, dalam hidup ku.

Berakhir ku di puntu besi
Lamanya ku terkurung sepi
Membuang lamunan ku ayunkan kaki
Masih adakah pintu maaf dihati
Untuk diri ku ini… Untuk diri ku ini.

nota kaki
lagu dan lirik lagu ini begitu terkesan dihati ku, sedikit sebanyak kisah dalam lirik itu menyamai kehidupan ku.

AKU PENGUTIP SAMPAH


Kota ini tidak pernah merasa terhutang pada aku yang mengorbankan wangi dan harum issey, miyaki, minyak atar hingga hiduku kini sukar membezakan masam ketiak sendiri dengan busuk bangkai kucing pecah perut berulat hijau atau kohong perut ikan seminggu diperam dalam tong sampah.

Lambat aku, mereka merungut sampah bertimbun makan gaji buta keluar berita waktu perdana, kerek datangnya bersungut baunya, anak-anak tidak boleh bermain bimbang dibaham lori sampah.

Gadis bertudung atau terlondeh pahanya, boleh memalingkan wajah atau menutup hidung setiap kali aku melintas, kerana itu pun aku merasa tidak terluka, tidak juga merasa darjahku dipijak, tampanku pun tidak luak pada perempuan yang tidak tahu menghargai kebersihan.

Begitu pun aku juga tahu meloya muntah belalah, apabila lori sampahnya lewat sampah masyarakat jalanan, kupu-kupu malam, perempuan jalang, bohsia, pemadat, pemabuk, penjudi, mat rempit dan mengomel aku tidak diberi kuasa mengangkut mereka ke pusat perlupusan agar kota ini lebih bersih.

Saban hari bergayut pada lori angkut sampah, melayakkan aku membina hukum bahawa tidak ada beza sampah sang menteri dengan rakyat biasa, tidak juga wangi sampah ahli korporat dengan sampah setinggan, tidak pula bersih sampah sang hakim berbanding bekas banduan.

Rupa-rupanya sampah mereka tetap sama. – imaen

nota kaki
sajak ini idea asal imaen yang belum pernah tersiar di mana-mana akhbar ataupun majalah, lalu aku robek sajak ini menjadi versi aku.

Jumaat, Februari 05, 2010

AL-USTAZ DR SAM RASPUTIN


MASIH ingat lagu Saya Anak Malaysia oleh Dr Sam Rasputin yang popular sekitar 1986. Lagu itu kini umpama lagu rakyat. Sering berkemundang sebagai lagu tema pada slot-slot tertentu untuk radio mahupun televisyen. Lagu itu sesuai untuk konsep “One Malaysia” masakini.

Ketika di pentas Dr Sam dengan imej dan identiti sendiri. Bertopi ala Pakistan, berjambang dan bercermin mata hitam. Beliau sinonim dengan grup tabilghnya, Musafir yang ketika itu sering lepak-lepak di Masjid India.

Selama lebih 20 tahun mencipta nama dalam seni tanahair, kini nama Dr Sam terus tenggelam. Namun beliau tidak terus menghilang. Dr Sam masih aktif, tapi dengan aktiviti tabilighnya. Sering menyampaikan ceramah kerohanian dan keagamaan di seluruh pelusuk tanahair dan juga luar negara. Beliau layak digelar Al-Ustaz.

Aku baru-baru ini berkesempatan bersamanya dalam satu ceramah keagamaan di Surau Ar-Rahman, Rumah Pengasih. Beliau tidaklah terlalu kerap ke Rumah Pengasih, tetapi sekali sekala muncul untuk dakwahnya di sini.

Walaupun berumur, Dr Sam masih kelihatan gagah. Berbadan tegap dengan jambang panjang berkemutihan dan berambut alun panjang. Berserban hitam kemas dengan jubahnya, persis seorang mujahidin.

Sambil bersantai di atas kerusi, Dr Sam menyampaikan ceramahnya dengan pantulan ayat-ayat yang kemas. Suara garaunya cukup berkesan dan menikam kalbu. Suaranya itu mengingatkan aku pada lagu-lagunya yang lain.

Lagunya yang paling aku suka berjudul Abu Nawas. Lagu-lagu lain yang agak popular ialah Gadis Cengeng, Di Kota Raya dan Hujan Batu. Kini aku tidak pernah mendengar lagu tersebut dimainkan dalam radio dan kedai-kedai pun sudah tidak menjualnya.

Sebelum merakamkan album Dr Sam terlebih dulu mula menimba pengalaman dengan menjadi penyanyi jalanan di luar negara seperti Perancis dan lain-lain. Tetapi, walaupun sebagai penyanyi jalanan, beliau tetap seorang karkun (panggilan untuk ahli-ahli jemaah tabligh)

Paling aku tersentuh hati dan tidak dapat lupakan, ialah ketika Dr Sam berdoa pada penghujung ceramahnya. Beliau begitu khusyuk diiringi dengan rintihan bait-bait perkataan yang begitu penuh keinsafan. Sehingga pada akhiran doa beliau tersedu-sedu dan tidak dapat menahan sebak terus menangis bagi memohon keampunan Allah SWT untuk dosa-dosanya.

Sabtu, Januari 30, 2010

PERJALANAN HIDUP JACK


JACK atau nama sebenarnya Sohaimi Ahmad agak unik orangnya. Beliau nampak serius tapi mesra. Pernah melalui liku-liku hidup penuh ranjau berduri, tapi punya kekuatan. Seorang staf Rumah Pengasih yang penuh komited dan dedikasi.

Jack aku anggap sebagai seorang sifu, bila aku mula-mula menyertai keluarga Pengasih. Beliau banyak membantu dan membimbing aku. Baru-baru ini aku bangga sekali bila rakan aku R.K.SHYAMALA dari THE STAR menulis sekelumit kisah tentang diri Jack.

Shyamala menulis dengan sentuhan yang mampu mencetuskan keinsafan. Begini cerita yang ditulisnya.

Perjalanan hidup penagih-penagih dadah memang penuh dengan kecelaruan akibat kebergantungan pada najis itu, malah banyak yang melarat dan merempat akhirnya.
Tetapi bukan semua penagih yang membuat keputusan untuk melalui kehidupan begitu buat selama-lamanya.

Ada segelintir daripada mereka berjaya kembali ke pangkal jalan dengan keluar dari pengaruh dadah, mengubah cara hidup mereka setelah timbul keinsafan.

Antara mereka adalah Sohaimi Ahmad yang kini bergelar Pengurus Program Rumah Pengasih yang terletak di Kuala Lumpur.

Sekilas pandang, tiada siapa yang dapat mengagak beliau sebenarnya merupakan seorang bekas penagih melainkan setelah beliau sendiri mengakui kenyataan tersebut.

Ini kerana susuk badannya tegap dan cara percakapannya penuh dengan keyakinan diri selepas bebas daripada ketagihan dadah, jauh berbeza padan dengan identiti beliau yang terdahulu.

Insan ini pernah dipenjarakan beberapa kali kerana kesalahan mencuri dan mengambil dadah. Beliau juga pernah menjadi peminta sedekah di Stesen Bas Klang dan pusat-pusat serenti bagaikan rumah keduanya suatu ketika dahulu.

Pun begitu, Sohaimi tidak malu mendedahkan pengalaman hidupannya kerana baginya, ia boleh dijadikan sebagai pedoman untuk sesiapa yang ingin mencuba dadah.

“Saya kehilangan 22 tahun daripada usia remaja saya kerana menghisap najis itu dan mula menghisap heroin pada umur 14 tahun.

“Pada masa itu juga saya kehilangan ayah dan ahli-ahli keluarga pernah menuduh saya pembunuh ayah. “Sebelum arwah meninggal, beliau menyuruh saya mengambil air wuduk untuknya sebelum solat subuh. Dan oleh kerana berada di bawah pengaruh dadah, saya memarahinya.

“Itu juga merupakan kali terakhir saya bercakap dengannya,” katanya dengan nada sedih.

Rabu, Januari 27, 2010

KEMBALI SEMULA KE PENGASIH


KEHIDUPAN yang kita lalui ini penuh dengan silang kata. Tidak dapat dijangka. Kekadang apa yang dirancang tidak menjadi, tetapi apa yang tidak kita fikirkan dan bayangkan muncul dalam kehidupan kita secara tiba-tiba.

Begitu juga dengan perjalanan hidup ku. Aku tidak menjangka sama sekali akan kembali semula ke pangkuan Rumah Pengasih. Setelah aku meninggalkan Rumah Pengasih, aku mula membuat percaturan menentukan haluan sendiri. Mula membentuk silang kata dan mengisi kotak-kotak kosong itu sendiri. Aku ke Melaka dan tinggal di Batu Lapan bersama seorang ibu angkat.

Setelah hampir dua minggu meninggalkan keluarga Pengasih, secara kebetulan aku bertemu dengan orang kanan ranking nombor dua di Rumah Pengasih, Abdullah Md Nor. Ketika itu aku keluar membeli makanan dan bertembung dengan Abdullah yang sedang menguruskan pengkebumian jenazah saudaranya yang baru meninggal dunia.

Abdullah tidak banyak bertanya, kenapa aku tinggalkan Rumah Pengasih. Beliau terus menghubungi Yang DiPertua Pengasih, Mohd Yunus Pathi yang lebih mesra dipanggil Yeop oleh keluarga Rumah Pengasih. Aku bercakap-cakap dengan Yeop melalui telefon. Beliau mengarahkan aku kembali semula ke Rumah Pengasih.

Bagaikan mendengar suara keramatnya, aku terus akur akan arahan Yeop. Padahal sebelum ini aku tidak menjawab sepatah pun pesanan ringkas ataupun panggilan telefon daripada Yeop mahupun keluarga Pengasih yang begitu mengambil berat tentang kehilangan ku.

Ada antaranya yang berhubung dengan ku melalui facebook dan e-mel yang minta aku kembali semula ke Rumah Pengasih, antaranya kaunselor Rumah Pengasih Azhar Rahman, berikut aku catatkan kembali masej yang dihantar oleh Azhar Rahman kepada ku.

Azhar Rahman January 12 at 1:03am
balik la nazri... benda kecik je tu...seua orang cari kau ...Yeop suruh cari..apapun kita boleh settle..


Aku dapat tahu daripada Abdullah, ramai yang keluar mencari, ketika aku mengambil keputusan gila meninggalkan Rumah Pengasih. Termasuk yang turut menjejaki aku ialah Raja Pop, Jamal Abdillah. Beliau bersama pembantunya mencari aku di rumah adik ku di Wangsa Maju. Jamal Abdillah sebelum tinggal di Rumah Pengasih memang rapat dengan adik ku dan sering juga ke rumah adik ku.

Sampai di Rumah Pengasih aku terus berjumpa dengan Yeop dan berbincang dengannya dan oleh kerana aku telah melakukan kesalahan, sudah pastinya aku terpaksa melalui learning experience yang menjadi budaya di Rumah Pengasih. Itu aku tidak kisah, aku terpaksa menerima dan menghadapinya. Tetapi yang membuatkan aku terkedu, apabila sekali lagi Yeop berkata: “Nazri tengok, Allah hantar kau lagi sekali ke sini”.

Rabu, Januari 20, 2010

KISAH LELAKI BERNAMA MAN


MAN. Nama panggilan bagi seorang rakan sebaya aku. Sejak dari sekolah rendah, aku bersama Man membesar di sebuah kawasan perkampungan setinggan di pinggir ibu kota. Zaman kanak-kanak, kemudian remaja aku bersama Man penuh dengan kenangan dan nostalgia. Kemudian kami berpisah membawa haluan masing-masing.

Sesekali aku mendengar juga khabar dari Man, pernah juga bersua dengannya. Man masih OK. Baru-baru ini, aku singgah makan di Setapak Jaya, sebuah gerai mamak. Sambil menjamu selera dan juga menjamu mata, aku terpandang seorang lelaki tua yang kurus keding. Duduk dibangku gerai di hadapan ku, tak berbaju sambil membaca surat khabar.

Tangannya terketar-ketar membuka lembaran surat khabar itu. Seperti tak bermaya, di selangseli dengan batuk-batuk kecil.

Selepas makan, aku mahu meninggalkan gerai dan melintasi lelaki itu. Aku henti seketika bila terpandang wajah lelaki yang cengkung itu. Lelaki itu ialah rakan di zaman kanak-kanak aku, Man.

Banyak cerita yang aku kumpul daripada Man, bila kami berbual. Man kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar, giginya pun telah tiada. Rupanya Man hidup terbuang dan keseorangan melawan penyakit. Kehidupannya seolah-olah tidak bakal bertahan lama. Usianya boleh direntap oleh malaikat maut bila-bila masa sahaja. Man sering keluar masuk hospital.

Dengan bantuan Pejabat Zakat RM400 sebulan, Man menyewa bilik di Setapak jaya RM200 sebulan. Tiada lagi sumber pendapatannya, itu saja. Man membawa aku ke biliknya. Di bilik yang tidak terurus, Man sering kepanasan. Dia terpaksa berbogel sepanjang masa di dalam biliknya. Aku simpati melihat perubahan fizikal Man. Bagaikan kulit-kulit sahaja yang menutupi tulang-tulangnya. Isinya telah tiada.

Dulu Man seorang makenik. Gajinya mencecah RM4,000 sebulan. Beristerikan seorang guru dan punyai seorang anak. Kini segala-galanya telah tiada. Mujurlah bekas isterinya sering mengambil berat tentang dirinya, kadangkala dijenguk juga Man untuk memastikan masih adakah hayat Man.

Man menceritakan pada aku wang caruman KWSP yang bakal diperolehi tidak lama lagi. Banyak juga, RM40,000 jumlahnya. Bagi aku, apalah nilai wang sebanyak itu, jika keadaan dirinya ditahap itu. Berjalan pun termengah-mengah. Tapi sifat Man yang aku pasti, keegoannya akan menyerlah bila ia punyai wang yang banyak. Aku rasa biarlah wang yang bakal dia perolehi nanti, sedikit sebanyak disumbangkan untuk membuat kebajikan dan mencari pahala. Sekurang-kurangnya dosa-dosa yang lepas dapat ditebus kembali.

Man adalah secebis kisah manusia yang lupa daratan. Man sering lalai dengan dosa-dosanya. Yang lebih memilukan, Man adalah bekas penagih dadah.

Isnin, Januari 11, 2010

Bermulanya Ekspedisi Kehidupan



BARU-BARU ini, aku ambil satu langkah bodoh. Kebodohan begitu terasa bila aku tinggalkan Rumah Pengasih. Hati aku betul-betul bebal, kerana aku tepiskan kasih sayang dengan semua keluarga Rumah Pengasih. Aku betul-betul tidak mengenang budi terhadap YDP Pengasih, Haji Mohd Yunus Pathi yang lebih mesra dipanggil Yeop, yang telah membimbing aku dan mahu lihat aku berubah dan mengambil aku bekerja sebagai Pembantu Medianya.

Semasa aku mahu tinggalkan Rumah Pengasih, aku ingat Allah SWT dan aku sebut nama Yeop berulang kali supaya kekuatan datang semula. Tetapi bebalnya aku, rasa malu, rasa hormat terhadap Yoep padam begitu sahaja.

Aku tinggalkan Rumah Pengasih kerana kes kecil sahaja. Insiden aku ditengking Hamid Yap membuatkan aku berdendam dengannya. Aku meluat, menyampah dan aku tak boleh tengok muka dia, itu sahaja. Silapnya aku, kerana buat keputusan terburu-buru tanpa berkongsi terlebih dahulu rasa tidak puas hati itu kepada rakan-rakan di Pengasih. Tapi itulah aku, jika aku berterusan bertentang muka dengan Hamid Yap, silap-silap tak muka dia, muka aku kena ludah.

Aku minta maaf banyak-banyak pada Yeop dan semua warga Rumah Pengasih, kecuali Hamid Yap.

Masih tergiang patah-patah ucapan Yeop terhadap aku baru-baru ini: "Nazri mungkin Allah SWT hantar kau datang ke Rumah Pengasih untuk membantu Yeop, harapan Yeop kau buat kerja bersungguh-sungguh, sama-samalah kita berganding bahu".

Bila aku kenangkan kembali ungkapan itu, aku jadi sebak. Aku tak dapat merealisasikan sepertimana yang Yeop harapkan. Aku tidak jujur terhadap Yeop. Lebih senang, bagi warga Pengasih, aku adalah pengecut kerana tidak berani mengambil tanggungjawab dan ambil risiko bila ada masalah. Bagi aku, Yeop buat tafsiran silap terhadap diri aku, pandangan aku Tuhan sengaja hantar aku ke Rumah Pengasih untuk aku jadi kurang ajar terhadap Yeop dan hampakan harapannya. Yeop sekali lagi aku mohon maaf yang tidak terhingga terhadap Yeop.

Aku kini bukan lagi family Pengasih. Aku sendiri yang singkirkan diri aku jauh-jauh. Aku pasti menyesal sampai bila-bila. Untuk diri aku, ini adalah permulaan sebuah ekspedisi kehidupan. -- Cobra Cobraeite

Selasa, November 04, 2008

Akhirnya Cobraeite Ekspedisi


Cobraeite Ekspedisi sudah berakhir, aku selamat sampai di Janda Baik pada 17 September lalu. Selama 77 hari di perantauan, aku banyak mengutip pengalaman dan banyak kenangan manis dan pahit telah aku telan.

Walaupun ekspedisi ini telah berakhir tetapi laman blog ini akan terus beroperasi. Aku akan terus menulis di blog ini apa yang berkaitan dengan ekspedisi yang telah aku lakukan. Selepas ekspedisi banyak kerja yang akan aku lakukan berkaitannya. Antaranya menyediakan skrip dokudrama, menghasilkan buku hasil pengalaman aku menjelajah semenanjung Malaysia dengan modal RM70.57 dan artikel bersiri untuk disiarkan dalam akhbar.

Tunggu catatan sku di blog ini seterusnya.

Ahad, November 02, 2008

Sejarah Aku Di Melaka



SORRY... sebenarnya aku dah lama tamat ekspedisi menjelajah semenanjung secara solo dengan motosikal. Aku kembali semula ke Janda Baik (tempat pertama aku singgah) pada 16 September lalu. Ingatkan dah habis ekspedisi aku boleh relek, tapi macam-macam kerja kena buat sampai aku tak sempat update blog ini.

Aku kini tengah siapkan skrip dokudrama Cobraeite Ekspedisi. Kisah pengalaman aku sepanjang penjelajah 77 hari itu akan difilemkan. Dalam pada itu aku tengah siapkan buku tentangnya. Sebuah akhbar turut menyiarkan pengalaman aku secara bersiri setiap minggu dan macam-macam lagi lah.

Anyway aku sambung balik kisah perjalanan aku selepas meninggalkan Bukit Putus. Aku sampai di Melaka dan mengambil keputusan bermalam saja di rumah ibu angkat aku di Taman Kesidang, Bachang.

Ibu angkat aku seorang pengamal terapi rawatan kecantikan dan urutlogi. Dia memang seorang wanita yang hebat.

Aku berehat di Melaka dengan tinggal di rumah dia selama 4 hari sebelum ke Johor sebagai negeri terakhir aku dalam penjelajahan ini. Di Melaka aku sempat ke sebuah rumah yang dijadikan muzium. Pemilik rumah itu adalah peminat dan pengumpul barang-barang antik.

Aku turut menyerahkan batu terapung yang aku temui di Kelantan untuk dipamerkan di 'Rumah Ku Muzium Ku' itu.

Menariknya sebelum pagi bertolak ke Johor, aku diraikan oleh pihak media di Melaka. Cerita pasal aku disiarkan secara besar-besaran. Semua media ada TV9, Sinar Harian. Kosmo, Utusan Malaysia, The Star dan lain-lain.

Aku ditemubual dan diwawancara di gereja lama Melaka yang lebih popular dengan panggilan bangunan Merah.

Jumaat, September 26, 2008

Misteri Bukit Putus


Selepas bermalam di Sri Jempol, pagi-pagi lagi aku dah nak bertolak ke Tampin melalui Bahau, Daripada situ aku terpaksa melalui Bukit Putus. Bukit Putus pun aku tak tahu di mana... tetapi ada orang pesan.. awas kat Bukit Putus. Aku check internet cari info jumpa dalam Malayaonline.net.

Forum dalam tu ada macam-macam seperti kata Little_duck:ni my uncle la ni punye cite..balik keje tgh mlm..lalu kt c2..selekoh pertame ok je..kedue,ketige pun ok..sampai la kt selekoh tokong cine (org kt cni yg pandai2 letak name tu)..sape2 yg penah lalu mesti perasannye selekoh yg ade anak air tu.kt c2 r bende tu turun ramai2 dri atas bukit tu turun kebawah.dh la ramai..pakaian kaler putih plak..yg betambah gile tu pakcik aku ckp..setiap 2org bwk 1 kerande..pun kaler putih gak..perghh..area bukit putus ni mmg tmpat paranormal buang/campak dieorg punye antu.dulu mase hospital lame k.pilah nk dipindahkan pun dieorg pungut sume penunggu2 kt hospital tu n campak kt bwh gaung tu jugak.yg eksiden mati pun ramai kt cni.ade sorg mamat ni plak cite die lain skit.ni kt area bukit sri menanti plak.balik keje tgh mlm gak,tgh bwk moto die nmpk ade bende mcm kaler putih tggu kt depan,mamat ni pun jln la wt sombong,jln punye jln..skali bende tu saing la plak ngn die..face to face beb..

dan Orange: aquh penah kene gak kat situh.
nmpk nenek kbayan.
anak aer??whatever..
aquh pgl aer terjun kcik.
dkt2 ngan situh gak la aquh nmpk.
tol2 kat slekoh.
a'ah syu..kat n9.from sremban-kp.
hospital lame kp ke brantu tuh??
waa..was born there..
ptt aquh pon psycho cket.hehe..
bru jerk td aquh lalu situh.
stakat aquh idop neyh skali jerk penah kene..
mak lang aquh lak nmpk kambeng gurun kat situh time maghrib.

Tapi aku tak tahu di mana aku sampai. Tapi kat satu selekoh aku nampak ada sebuah bengkel dan aku pun berhenti rehat. Seperti bengkel bas lama, tapi bilik airnya bersih... macam bilik air hotel siap air pancut dan moxek berkilat. Di sebelah bengkel ada rumah.. dinding kaca hitam.. nampak sunyi orang tiada... Ada dua biji bas kat situ. Tiba-tiba seorang pemandu bas hampiri aku dan bertanya tujuan aku.

"Dari mana nie," katanya.

Aku ceritakan segalanya dan tunjukkan buku log. Dia baca dan kemudian bergegas katanya nak ambil budak sekolah. Dia pergi kembali semula. Cepatnya.. Ada seorang budak lelaki keluar dari bas masuk ke dalam rumah.

Aku buat tak kisah.. sebelum bertolak meneruskan perjalanan aku sempat mandi di bilik air bagai hotel itu... sejuk airnya.

Menariknya... sampai di Melaka... aku tanya mereka yang arif laluan itu... di situlah Bukit Putus dan mana ada bengkel dan rumah di situ.... hahahaha

Isnin, September 15, 2008

Di Batu Kikir Ingat Marang



Dari Kuantan, aku terpaksa bermalam di Temerloh, di rumah sahabat Zuki Yunus. Esoknya aku meneruskan perjalanan ke Negeri Sembilan. Perjalanan melalui persisir Sungai Pahang. Sempat juga aku singgah di Bera.

Hari sudah hampir petang, aku berkira-kira untuk singgah menumpang malam di Warisan Homestay di Batu Kikir. Akhirnya aku temui jua Warisan Homestay yang belum pernah aku sampai. Kawasannya agak menarik, tapi hampes.

Pemilik homestay itu aku kira tidak langsung berperikemanusiaan. Permintaan aku untuk menumpang bermalam di tolak mentah-mentah atas alasan, pada bulan puasa mereka tidak menjalankan sebarang operasi. 'Orang Kaya batu Kikir' itu tidak langsung menaruh simpati ke atas diri aku yang agak tersepit dalam perjalanan di samping keletihan berpuasa. Tak apalah, sifat bongkak pemilik Homestay Warisan itu membuat aku teringatkan sifat pemurah dan simpati pengurus di Marang Village Spa & Resort.

Ketika itu aku baru saja meninggalkan bandar Kuala Terengganu untuk meneruskan perjalanan. Tiba di Marang Village, niat di hati ingin berehat sebentar di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Rantau Abang. Lalu aku singgah di resort itu, yang terletak di penghujung pantai kelulut. Kawasan resortnya menarik sekali, tidaklah luas sangat tapi agak unik dengan hamparan pasir dan kedudukan chaletnya yang teratur dihiasi dengan pepohon kelapa dan jambu laut. Chaletnya diperbuat daripada kayu dengan rekabentuk rumah kayu yang kelihatan simple sekali.

Pengurus resort itu, Mohd Hafir Jusuh menghampiri aku dan kami berbual-bual ala kadar. Terkejut aku tiba-tiba dia menawarkan sebuah chalet untuk aku bermalam di situ.

"Saya faham perasaan abang dan ambil lah kunci bilik ini untuk abang mandi dan berehat semalaman," katanya.

Aku mengambil peluang ini untuk aku menikmati malam dan keindahan resort itu. Menurut Hafir resort itu milik ibu saudaranya yang baru beroperasi baru empat bulan. Beliau adalah anak muda yang cukup dinamik dan berwawasan. Berpengalaman dalam bidang perhotelan sebelum ini, beliau berupaya menghidupkan Marang Vilage.

Thank You Marang Village. Good Bye Homestay Warisan.

Kerana aku 'dihalau' dari Warisan Homestay ketika hampir petang, aku terpaksa berbuka puasa di Masjid Jamek Batu Kikir sebelum meneruskan perjalanan ke Mercu Tanda Za'aba di Jempol Jaya untuk bermalam.

Terima kasih kepada Exco Negeri Sembilan yang juga ADUN Serting Shamsuddin Mohd Deli yang bersimpati terhadap kembara ini.

Mengemis Di Saham Wakaf


Setelah meninggalkan Rantau Abang aku meneruskan perjalanan untuk ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi meneruskan baki ekspedisi aku. Hari hampir petang, menyebabkan aku terpaksa bermalam di surau Pantai Kemasik, Kemaman, Terengganu.

Esoknya aku meneruskan perjalanan dan terpaksa menempuh Pahang, sekali lagi. Aku terpaksa singgah di Pahang bagi mencari sumber kewangan kerana modal aku rasa tidak cukup untuk meneruskan perjalanan.

Di Kuantan, aku mati akal untuk mendapatkan bantuan. Jalan terakhirnya aku terpaksa Pejabat Saham Wakaf Pahang yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang untuk meminta sedikit sumbangan.

Seolah-olah rasakan diri ini bagaikan pengemis, apabila minta bantuan di pejabat itu. Seorang petugas wanita di situ mengherdik aku dengan kata-kata:"Bukan masalah kami bila awak mengembara dan siapa yang suruh awak mengembara jika tidak mampu."

Aku umpama musafir. Seorang musafir adalah asnaf yang layak mendapat sumbangan wang zakat. Apatah lagi kembara aku untuk mencari pengalaman dan melihat sendiri keunikkan ciptaan Ilahi.

Dalam kembara ini aku menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT, tambahan ianya turut berlaku di bulan Ramadan, ianya banyak mengajar aku erti kesabaran.

Walaupun aku diberi imbuhan akhirnya, setelah ditanya dengan pelbagai soalan, tapi sebelumnya aku seolah-olah dilayan seperti peminta sedekah.

Mujurlah rakan aku, Ketua Biro Bernama Pahang, Mohd Shukri Ishak dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang, Abdul Wahab Mohd Ali yang turut membantu. Dapat juga aku bernafas meneruskan perjalanan.

Di Kuantan aku sempat dan merasai pengalaman berbuka puasa di masjid besarnya. Sebelum meninggalkan Kuantan aku sempat singgah di pejabat Tourism Malaysia Pahang. Terima kasih kepada boss di situ, Amram Rahman yang memberi galakan dan dorongan untuk aku meneruskan perjalanan.

Misteri Rantau Abang


Aku pernah ke Rantau Abang, kira-kira hampir 20 tahun dulu. Kini dalam ekspedisi ini aku sempat singgah di berkhemah selama dua malam di Rantau Abang, yang terkenal dengan tempat penyu bertelor.

Rantau Abang aku perhatikan tidak seperti dahulu, tempatnya aku terbiar berbanding 20tahun dulu. Aku tiba di pantai Rantau Abang ketika senja baru sahaja berlabuh. Beberapa orang nelayan pantai masih ada di pengkalan mereka berlabuh. Aku minta izin pada salah seorang nelayan untuk berkhemah di tepi pantai berhampiran pengkalan mereka.

"Boleh buat khemah di sini tapi jangan sampai hujung sana sangat, buat dekat sikit dengan perahu nelayan," ujar salah seorang nelayan sambil menunjukkan ke arah salah sebuah resort yang agak popular.

Malamnya aku tidor di pantai Rantau Abang tanpa sebarang masalah dan sebelum itu sempat juga aku memagang beberapa ekor ikan segar yang diberikan nelayan di situ.

Esok paginya perut aku memulas, terus aku mencari hutan berdekatan untuk melepaskan hajat. Aku masuk ke hutan di sebelahan pantai. Terpesona aku sekejap melihat suasana dalam hutan itu, kawasannya agak lapang seolah-olah sebuah halaman rumah. Ketika aku minta 'izin' untuk melepaskan hajat, aku terdengar suara kanak-kanak bermain-main dan bersembang-sembang. Tapi aku tidak pasti apa yang dibualkan mereka. Mungkin ada rumah di sebalik hutan itu.

Selepas melepaskan hajat aku beredar ke chalet berhampiran untuk membasuh muka. Salah sebuah bilik di chalet itu aku rasa berpenghuni. Terdengar suara seorang wanita yang terbatuk-batuk tanpa henti. Agak kronik batuknya. Aku fikir mungkin ada pelancung yang singgah melepaskan penat di bulan puasa ini.

Batuk wanita itu berpanjangan. Kesian juga aku dengar. Waktu berbuka aku ke chalet itu lagi untuk mengambil air. Aku lihat bilik yang berpenghuni tadi sunyi sepi. Tiada suara batuk-batuk dan bilik itu gelap gelemat, tidak seperti siang tadi yang aku nampak nyata kipasnya berputar.

Mungkin penghuninya sudah meninggalkan tempat itu. Esok paginya aku terus ke chalet itu untuk mengambil angin dan aku lihat seorang lelaki sedang menyapu di halaman chalet itu.

"Abang, ada orang sewa ke bilik itu semalam," aku bertanya lelaki itu.

"Bulan puasa ni mana orang yang datang sewa kat sini, releklah sikit," katanya.

"Tapi semalam saya dengar suara perempuan batuk-batuk dalam bilik ini," ujar aku.

"Ohhhh.... biasalah dah selalu macam nie, tapi sebenarnya tiada orang, tak apa dia tak ganggu jangan risau," ujar lelaki itu selamba.

Aku kehairanan dengan seribu pertanyaan. Siapakah wanita itu. Menariknya di chalet itu ada seekor burung tiong yang boleh berkata-kata dan memeberi salam. Sebelum aku beredar burung tiong yang dikurung dalam sangkar itu berkata: "Assalamualaikum."

Aku menjawab salam itu dengan penuh misteri.

Isnin, September 08, 2008

Sumbangan Amal Cobraeite Ekspedisi

Kembara bermotosikal menjelajah semenanjung Malaysia secara solo yang saya mulai pada 1 Julai 2008 bermodalkan RM70,57 dijangka berakhir pada 16 Semtember ini.

Sempena tarikh penutup bulan kemerdekaan (angkat sumpah PM baru kalau jadi) itu saya bercadang menamatkan ekspedisi ini di Pondok Pak Habib, Janda Baik, Pahang yang merupakan tempat pertama saya bermalam bila memulakan ekspedisi ini.

Sempena Ramadan ini, saya bercadang untuk melakukan sedikit kerja dan ibadah amal sempenana pencapaian saya menamatkan ekspedisi ini tanpa modal yang besar dan penaja-penaja untuk memulakan kembara ini.

Justeru itu sebagai tanda komitmen bersama, saya hulurkan tangan memohon sedikit sumbangan daripada pihak Tuan/Puan untuk saya membukukan pengalaman baru, kisah sedih duka yang saya tempuhisepanjang penjelajahan lebih dua bulan ini.

Sebahagian daripada sumbangan yang Tuan/Puan hulurkan, akan saya salurkan kepada anak-anak yatim pada hari ketibaan saya di Janda Baik nanti.

Walaupun sumbangan Tuan/Puan sekadar RM1, kesemua nama penyumbang akan saya abadikan di dalam buku yang bakal saya hasilkan nanti. Di samping itu juga sebahagian daripada sumbangan itu tetap saya agihkan untuk anak-anak yatim.

Semuga dengan sumbangan Tuan/Puan itu dapat jua saya lakukan ibadah amal untuk manfaat bersama sempena bulan yang mulia ini.

Segala sumbangan Tuan/Puan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank No 162405057645 atas nama Mohd Nazri Mohd Hassan. Sumbangan juga boleh dikirim terus kepada saya di alamat Team PSI, Pondok Pak habib, Janda Baik, Bentong, Pahang. Sumbangan berbentuk material juga diterima.

Semuga sumbangan Tuan/Puan akan melancarkan lagi penghasilan dan penulisan buku kembara menjelajah semenanjung Malaysia bermodalkan RM70.57, di samping kita beramal jariah untuk anak-anak yatim.

Saya sangat menghargai sumbangan Tuan/Puan dan semuga ianya diberkati.

Salam dari saya,
Matt Nazriee Hassan, BKM.

Rabu, September 03, 2008

Man Luke Man


MANLUKEMAN adalah orang yang sama dengan nama Mohd Luqman Hakim Ab Rahim. Dia wartawan Kosmo! berprofil tinggi di Kelantan. Dia juga punyai blog sendiri.

Sebelum meninggalkan Kuala Terengganu bertolak ke Rantau Abang, aku sempat melayari blog Luqman dari pejabat Ayob Mamat. Rupanya Luqman minat juga dengan kerja gila aku untuk dipaparkan dalam laman blognya. Terima kasih Luqman. Ilebiu somas.

Foto di atas dirakam oleh Jurufoto Kosmo Biro Kelantan.

Berikut aku paparkan catatan blognya di sini:

AKU DAN MERDEKA

Tak sedar aku rupa-rupanya dah dekat dengan Hari Merdeka..31 Ogos...aaiii..malu aku..nak jadi Melayu mudah lupa...kebetulan ketika aku sedang duduk membuat tugasan aku di pejabat, ada pula mamat datang dari mana datang kenalkan diri sambil menunjukkan keratan akhbar...

Rupa-rupanya mamat yang bernama , Matt Nazriee Hassan, 41, nak cipta rekod jelajah solo menggunakan motosikal Nitro dia bersempena bulan Kemerdekaan..kagum kejap aku tengok dia..Cerita punya cerita, nak tau berapa modal untuk kembara yang diberi nama Cobraeite Ekspedisi’ ni, RM70.57 ..kebetulan pula nombor pendaftaran motosikal dia 7057...geleng kepala aku kata dia ni sah memang gila...

Ada sedikit pengalaman yang Mat Nazriee kongsi dengan aku..antaranya duit dia pernah seketika tinggal RM3 saja yang digunakan untuk mengisi minyak..kalau aku tak silap masa tu dia di Sungai Petani...nak naik ke Kedah...Dia tawakal saja, mujur kemudiannya ada insan yang sudi membantu menghulurkan sedikit wang untuk belanjanya meneruskan perjalanan

Memang 'sembrono' dia ni..main redah je..tak payah nak tunggu orang sponsor besar-besar, buat promo besar-besar, terus jalan...kita biasa ditayangkan dengan orang sana-sini buat program besar-besar sempena bulan Merdeka kita, heboh seantero Malaya..tapi dia ni..memang aku 'respect' la...

Sesiapa yang ingin menghulurkan sebarang sumbangan boleh menghubungi Mat Nazriee di talian 013-5181512 atau melayari blog Cobraeite Ekspedisi di alamat http://cobraeite.blogs pot.com untuk maklumat lanjut.

Puasa Di Kuala Terengganu




31 Ogos 2008, aku di Kuala Terengganu, setelah melalui jalan pantai dari Kampung Fikri. Di sini aku menghubungi rakan wartawan, Ayob Mamat yang 'satu kepala' seperti aku.

Beliau kini lebih hebat dari aku. Bertugas di akhbar Kosmo!, kemudian jadi Presiden Kelab Wartawan Terengganu pula.

Ayob datang menjenguk aku di lokasi aku berkhemah di Pantai Batu Buruk, berhampiran pusat bandaraya Kuala Terenganu. Setelah bersembang-sembang dan bertanya kabar beliau minta diri kerana ada urusan dan berjanji untuk menghubungi aku kemudian.

Hampir petang Ayob hubungi aku dan dia minta aku kemaskan barangan di tapak perkhemahan.

"Tak payah tidor khemah malam ni, aku dah cari hotel untuk kau, malam ni kau tidor hotel saja," ujar Ayob ringkas.

Ayob datang dan belanja aku makan tengahari (sebenarnya dah petang) di gerai Jalan Sultan Sulaiman kemudian dia memberikan kunci bilik nombor 808 di Hotel YT MidTown, Jalan Tok Lam.

Di bilik hotel aku mendengar pengumuman tarikh puasa yang jatuh pada 1 September 2008. Bermakna aku memulakan puasa di Kuala Terengganu dan malam itu aku bersahur di Hotel YT MidTown dengan nasi kari ayam.

Walaupun Ramadan telah tiba, tetapi kembara ini tetap aku teruskan. Kini selepas Terengganu tinggal tiga negeri lagi yang perlu aku jelajahi iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selepas 'checkout' dari hotel, aku ke tapak khemah di Pantai Batu Buruk. Malamnya aku bersahur menu nasi goreng yang dimasak sendiri di pantai yang bersih dengan kedinginan hembusan bayu Laut China Selatan itu.

Bermalam di Pantai Batu Buruk begitu nyenyak sekali.

Keesokkannya Ayob hantar SMS kepada aku dan minta agar aku tidak berkhemah lagi di situ. Beliau minta aku bermalam saja di pejabatnya di Chendering agar tidor aku lebih selesa.

Pejabat itu digunakan untuk membaca dan menulis buku. Setekat ini Ayob telah berjaya menghasilkan empat buah buku iaitu, 'Warkah', "Memo', "Catatan Hadhari' dan 'Syed Anuar Pejuang Pelajar'.

Syabas, Ayob Mamat -- Aku pun berkira-kira ingin jadi penulis buku segagah kau.

ABOUT PANTAI BATU BURUK

Pantai Batu Buruk (beach of the ugly stone) Kuala Terengganu famous beach, white sandy beaches with swaying casuarinas lining up behind the shore, like a loyal friend to the waves.

During windy days, playing kite on the beach is a good idea but swimming can be dangerous here. Varieties food stalls can be found at Batu Buruk, try fried ice cream (Ais Krim Goreng), Nasi Dagang, Terengganu traditional rice, fried sea foods and Yunnan chicken rice.

There is good night market every Friday from 3.00pm till 7.00pm. Pantai Buruk is also a popular place for strolling and good place to visit especially in the evening,This beautiful beach is just 1 km from the city center and can be reached by walking.

Perhaps this is the cleanest and widest beach inside Kuala Terengganu city. The Culture Centre stage pencak silat (Malay martial art), top spinning, kite flying, sepak raga and other traditional show from 5.00pm to 7.00pm every Friday from 1 April till 31 October, Check with the tourist office.

SIAPAKAH AYOB MAMAT?

Ayob Mamat dilahirkan pada 21 September 1970 di Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Batu 48, Dungun sebelum melanjutkan elajaran ke Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun dan kemudian Sek. Men. Tengku Intan Zaharah.

Bermula di situlah beliau didedahkan dengan dunia penlisan selepas menyertai Gabungan Penyair Remaja Intan (GAPRI) bimbingan sasterawan Awang Abdullah. Ketika itu beliau aktif dan gigih dalam pertandingan pidato, syarahan, perbahasan dan pertandingan menulis essei.

Anak kelapan dari sepuluh beradik. Pernah memenangi Peraduan Menulis Essei Belia-Belia ASEAN pada 1998. Seyembara Penulisan Puisi Alam Sekitar Kebangsaan, Johan Deklamator Puisi Alam Sekitar Malaysia di Langkawi pada 1996. Naib Johan Kuiz Kenegaraan Peringkat Kebangsaan.

Tempat pertama Anugerah Kewartawanan Kawat-EXXON Mobil bagi kategori penulisan Berita Sukan Terbaik dan Berita Ekonomi Terbaik selama beberapa tahun sejak 1995.

Ayob Mamat juga aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri dan kebangsaan. Kini beliau Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Pengerusi Persatuan Sasterwan Terenganu (PELITA) Sudut Dungun, AJK PELITA Pusat dan AJK Biro Penerangan UMNO Terangganu.

Beliau kini bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo di Terangganu dan juga merupakan penyedia skrip Ulasan Isu-Isu Semasa di Radio Terangganu FM.

Merdeka Di Kampung Fikri




Niat dihati aku ingin meraikan malam ambang merdeka ke-51, di Kuala Terengganu. Aku meninggalkan Pantai Irama, Bachok, Kelantan setelah bermalam di situ.

Aku bertolak agak lewat petang, setelah waktu paginya aku berkesempatan menikuti program Larian Gemilang Kemerdekaan Ke-51, anjuran Rukun Tetangga daerah Bachok di Dataran Perahu, Pantai Irama.

Aku melalui jalan pantai yang beitu mepesonakan pemandangan dengan kampung nelayan dan persisiran pantai yang menawan.

Merantasi sempadan negeri Kelantan-Terengganu kala hari hampir senja. Jalan semakin gelap.

Tiba di Besut, motosikal aku buat hal, lampu terpadam dengan tiba-tiba. Aku meneruskan perjalanan dengan berpandukan lampu (signal) kecemasan.

Dalam teraba-raba di celah kegelapan malam itu, motosikal aku hampir terbabas di bahu jalan. Hampir juga aku di langgar lori. Malah aku gagahi melepasi beberapa buah perkampungan dan pekan seperti pekan Kampung Raja yang merupakan ibu daerah Besut.

Akhirnya aku terpaksa akur dengan malam yang semakin menggelap. Tiba di sebuah perkampungan nelayan, Kampung Fikri namanya, aku berhenti rehat di halaman salah sebuah rumah berhampiran jalan raya. Jarak dari situ untuk ke Kuala Terengganu kira-kira 75 kilometer lagi.

Halaman rumahnya luas dan bersih sekali. Aku bercadang untuk berkhemah di situ bagi menanti hari siang untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.

Sebelum sempat salam diberi, tuan rumah seorang wanita berusia lewat 40an membuka pintu rumah. Beliau terkejut dengan kehadiran aku bersama motosikal besar yang membawa Jalur Gemilang di hadapan rumahnya.

Aku memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan berhenti di halaman rumahnya. Tanpa rasa curiga, beliau membenarkan aku masuk dan menumpang malam di dalam rumahnya..

"Tak payah buat-buat khemah lah, tidur saja di rumah ini," pelawa beliau yang kemudian aku kenali sebagai puan Mizan binti Ismail.

Beliau menjerang air untuk bancuh kopi buat aku panaskan badan kemudian menanak nasi menyediakan makan malam untuk aku. Suami puan Mizan, encik Kamarudin Abu Bakar sekitar usia 50an masih meneguk kopi bersama-sama rakannya di kedai berhampiran ketika aku di rumahnya.

Sejam kemudian, suaminya pulang dan agak terkejut dengan kehadiran aku di rumahnya. Kami bersembang-sembang pendek. Beliau agak pendiam orangnya. Beliau seorang nelayan dan juga tukang rumah.

Aku diberikan sebuah bilik untuk bermalam, selesa sekali.

Tepat jam 12.00 tengahmalam, malam ambang merdeka bermula. Aku menjerit dalam hati MERDEKA! sebanyak tiga kali dan terasa kepuasannya. Tidur dalam merdeka.

Esoknya, puan Mizan menyediakan sarapan pagi mehon goreng dan kopi panas untuk aku mengalas perut sebelum bertolak ke Kuala Terengganu.

Terima kasih Kampung Fikri, budi baik encik kamarudin dan puan Mizan akan aku ingati sepanjang kembara ini dan sampai bila-bila jua.

SEDIKIT INFO KAMPUNG FIKRI

Kampung Fikri adalah perkampungan nelayan yang agak tersusun. Terletak dalam daerah Setiu dan ianya sebuah perkampungan yang bersih dan majoriti penduduknya adalah nelayan.

Kerajaan juga telah bangunkan pelbagai projek pertanian di kampung itu. Kampung Fikri, Setiu projek ternakan dalam kolam menggunakan teknologi ‘high density recirculation pond water cultured system’ yang dibangunkan di atas tanah seluas 200 hektar milik kerajaan negeri dengan operasi 16 kolam ternakan udang dan siakap yang terbahagi kepada dua fasa.

Projek usaha sama TADC dengan Fenomena Luas Sdn Bhd (FLSB) melalui anak syarikat TRG Aquaculture Sdn Bhd yang menumpukan pasaran produk ke Amerika Syarikat dan Eropah dalam bentuk filet, manakala ikan hidup lebih menjurus kepada pasaran Hong Kong dan Singapura.

Empat peserta PPRT sudah dilantik sebagai peserta program dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM780 sebulan dan penambahan peserta akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan dan pengoperasian ternakan syarikat.

Aspek pertanian di negeri itu akan lebih cekap dan maju dengan pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Tani di Kampung Telaga Papan, Setiu yang akan menjadi hab masuk dan keluar hasil tani daripada seluruh negeri yang akan melalui proses pembungkusan menepati standard antarabangsa untuk pasaran negara luar dan tempatan.

KAMPUNG FIKRI PUSAT PENGELUARAN UDANG TERENGGANU

SETIU 17 Jun - Terengganu dijangka menjadi pengeluar udang putih terbesar di Pantai Timur dalam tempoh tiga tahun lagi apabila Terengganu Agrotech Development Corp. (TADC) mengusahakan ternakan itu di kawasan seluas 250 hektar di Kampung Fikri dekat sini mulai tahun ini.

Kawasan tersebut bakal dibangunkan dengan kolam ternakan udang putih dari spesies Penaeus Vanname yang kini mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat berkata, setakat ini sembilan projek perintis dengan beberapa buah kolam yang sedang diusahakan dengan spesies itu memperoleh hasil pengeluaran yang agak memberangsangkan.

Menurutnya, pembesaran projek akuakultur itu secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutama kaum nelayan di kawasan berkenaan.

”Buat masa ini kita mempunyai 10 pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada golongan nelayan dari kampung ini,” katanya semasa melawat kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam.

Rozi menambah, kejayaan udang putih yang diternak sekarang bukan sahaja dilihat daripada hasil pengeluarannya tetapi spesies tersebut juga mendapat pasaran yang baik berbanding udang harimau.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri mengusahakan ternakan udang harimau di kolam yang sama tetapi hasil pengeluarannya kurang memuaskan selain menghadapi pelbagai masalah lain.

”Namun dengan kejayaan yang kita peroleh melalui kolam seluas 0.4 hektar yang mendapat enam hingga tujuh tan metrik menyebabkan kerajaan yakin memajukan kawasan ini dengan ternakan udang putih,” katanya.

Rozi menambah, projek ternakan udang tersebut mula dilaksanakan sejak tahun lepas di kawasan seluas 25 hektar oleh anak syarikat kerajaan negeri dengan menggunakan teknologi moden.

Katanya, dengan menggunakan kaedah menerusi sistem ‘kuasa air yang tinggi’ akan menjadikan udang putih yang diternak di kawasan itu mendapat pasaran baik selain bermutu tinggi dan berdaya maju.

Untuk pelaksanaan projek itu, termasuk kos pembangunan di kolam berkenaan kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM2 juta.

”Apabila projek ini berjalan dengan lancar kita bukan sahaja menjadi pembekal udang putih yang utama malah kita juga dapat mewujudkan modul latihan kepada anak petani serta nelayan di negeri ini untuk menambah pengetahuan mereka dalam bidang ternakan air.

”Ia juga merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memajukan tanah terbiar dengan melaksanakan projek ternakan udang yang mampu memberi pulangan yang agak lumayan jika diusahakan secara komersial,” ujarnya.

Kos operasi termasuk benih dan makanan udang bagi kolam seluas sehektar menelan belanja RM50,000 dan memperoleh pendapatan antara RM80,000 hingga RM90,000 semusim.