Niat dihati aku ingin meraikan malam ambang merdeka ke-51, di Kuala Terengganu. Aku meninggalkan Pantai Irama, Bachok, Kelantan setelah bermalam di situ.
Aku bertolak agak lewat petang, setelah waktu paginya aku berkesempatan menikuti program Larian Gemilang Kemerdekaan Ke-51, anjuran Rukun Tetangga daerah Bachok di Dataran Perahu, Pantai Irama.
Aku melalui jalan pantai yang beitu mepesonakan pemandangan dengan kampung nelayan dan persisiran pantai yang menawan.
Merantasi sempadan negeri Kelantan-Terengganu kala hari hampir senja. Jalan semakin gelap.
Tiba di Besut, motosikal aku buat hal, lampu terpadam dengan tiba-tiba. Aku meneruskan perjalanan dengan berpandukan lampu (signal) kecemasan.
Dalam teraba-raba di celah kegelapan malam itu, motosikal aku hampir terbabas di bahu jalan. Hampir juga aku di langgar lori. Malah aku gagahi melepasi beberapa buah perkampungan dan pekan seperti pekan Kampung Raja yang merupakan ibu daerah Besut.
Akhirnya aku terpaksa akur dengan malam yang semakin menggelap. Tiba di sebuah perkampungan nelayan, Kampung Fikri namanya, aku berhenti rehat di halaman salah sebuah rumah berhampiran jalan raya. Jarak dari situ untuk ke Kuala Terengganu kira-kira 75 kilometer lagi.
Halaman rumahnya luas dan bersih sekali. Aku bercadang untuk berkhemah di situ bagi menanti hari siang untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.
Sebelum sempat salam diberi, tuan rumah seorang wanita berusia lewat 40an membuka pintu rumah. Beliau terkejut dengan kehadiran aku bersama motosikal besar yang membawa Jalur Gemilang di hadapan rumahnya.
Aku memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan berhenti di halaman rumahnya. Tanpa rasa curiga, beliau membenarkan aku masuk dan menumpang malam di dalam rumahnya..
"Tak payah buat-buat khemah lah, tidur saja di rumah ini," pelawa beliau yang kemudian aku kenali sebagai puan Mizan binti Ismail.
Beliau menjerang air untuk bancuh kopi buat aku panaskan badan kemudian menanak nasi menyediakan makan malam untuk aku. Suami puan Mizan, encik Kamarudin Abu Bakar sekitar usia 50an masih meneguk kopi bersama-sama rakannya di kedai berhampiran ketika aku di rumahnya.
Sejam kemudian, suaminya pulang dan agak terkejut dengan kehadiran aku di rumahnya. Kami bersembang-sembang pendek. Beliau agak pendiam orangnya. Beliau seorang nelayan dan juga tukang rumah.
Aku diberikan sebuah bilik untuk bermalam, selesa sekali.
Tepat jam 12.00 tengahmalam, malam ambang merdeka bermula. Aku menjerit dalam hati MERDEKA! sebanyak tiga kali dan terasa kepuasannya. Tidur dalam merdeka.
Esoknya, puan Mizan menyediakan sarapan pagi mehon goreng dan kopi panas untuk aku mengalas perut sebelum bertolak ke Kuala Terengganu.
Terima kasih Kampung Fikri, budi baik encik kamarudin dan puan Mizan akan aku ingati sepanjang kembara ini dan sampai bila-bila jua.
SEDIKIT INFO KAMPUNG FIKRI
Kampung Fikri adalah perkampungan nelayan yang agak tersusun. Terletak dalam daerah Setiu dan ianya sebuah perkampungan yang bersih dan majoriti penduduknya adalah nelayan.
Kerajaan juga telah bangunkan pelbagai projek pertanian di kampung itu. Kampung Fikri, Setiu projek ternakan dalam kolam menggunakan teknologi ‘high density recirculation pond water cultured system’ yang dibangunkan di atas tanah seluas 200 hektar milik kerajaan negeri dengan operasi 16 kolam ternakan udang dan siakap yang terbahagi kepada dua fasa.
Projek usaha sama TADC dengan Fenomena Luas Sdn Bhd (FLSB) melalui anak syarikat TRG Aquaculture Sdn Bhd yang menumpukan pasaran produk ke Amerika Syarikat dan Eropah dalam bentuk filet, manakala ikan hidup lebih menjurus kepada pasaran Hong Kong dan Singapura.
Empat peserta PPRT sudah dilantik sebagai peserta program dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM780 sebulan dan penambahan peserta akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan dan pengoperasian ternakan syarikat.
Aspek pertanian di negeri itu akan lebih cekap dan maju dengan pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Tani di Kampung Telaga Papan, Setiu yang akan menjadi hab masuk dan keluar hasil tani daripada seluruh negeri yang akan melalui proses pembungkusan menepati standard antarabangsa untuk pasaran negara luar dan tempatan.
KAMPUNG FIKRI PUSAT PENGELUARAN UDANG TERENGGANU
SETIU 17 Jun - Terengganu dijangka menjadi pengeluar udang putih terbesar di Pantai Timur dalam tempoh tiga tahun lagi apabila Terengganu Agrotech Development Corp. (TADC) mengusahakan ternakan itu di kawasan seluas 250 hektar di Kampung Fikri dekat sini mulai tahun ini.
Kawasan tersebut bakal dibangunkan dengan kolam ternakan udang putih dari spesies Penaeus Vanname yang kini mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat berkata, setakat ini sembilan projek perintis dengan beberapa buah kolam yang sedang diusahakan dengan spesies itu memperoleh hasil pengeluaran yang agak memberangsangkan.
Menurutnya, pembesaran projek akuakultur itu secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutama kaum nelayan di kawasan berkenaan.
”Buat masa ini kita mempunyai 10 pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada golongan nelayan dari kampung ini,” katanya semasa melawat kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam.
Rozi menambah, kejayaan udang putih yang diternak sekarang bukan sahaja dilihat daripada hasil pengeluarannya tetapi spesies tersebut juga mendapat pasaran yang baik berbanding udang harimau.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri mengusahakan ternakan udang harimau di kolam yang sama tetapi hasil pengeluarannya kurang memuaskan selain menghadapi pelbagai masalah lain.
”Namun dengan kejayaan yang kita peroleh melalui kolam seluas 0.4 hektar yang mendapat enam hingga tujuh tan metrik menyebabkan kerajaan yakin memajukan kawasan ini dengan ternakan udang putih,” katanya.
Rozi menambah, projek ternakan udang tersebut mula dilaksanakan sejak tahun lepas di kawasan seluas 25 hektar oleh anak syarikat kerajaan negeri dengan menggunakan teknologi moden.
Katanya, dengan menggunakan kaedah menerusi sistem ‘kuasa air yang tinggi’ akan menjadikan udang putih yang diternak di kawasan itu mendapat pasaran baik selain bermutu tinggi dan berdaya maju.
Untuk pelaksanaan projek itu, termasuk kos pembangunan di kolam berkenaan kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM2 juta.
”Apabila projek ini berjalan dengan lancar kita bukan sahaja menjadi pembekal udang putih yang utama malah kita juga dapat mewujudkan modul latihan kepada anak petani serta nelayan di negeri ini untuk menambah pengetahuan mereka dalam bidang ternakan air.
”Ia juga merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memajukan tanah terbiar dengan melaksanakan projek ternakan udang yang mampu memberi pulangan yang agak lumayan jika diusahakan secara komersial,” ujarnya.
Kos operasi termasuk benih dan makanan udang bagi kolam seluas sehektar menelan belanja RM50,000 dan memperoleh pendapatan antara RM80,000 hingga RM90,000 semusim.